160 GRADUAN TERIMA SIJIL KEMAHIRAN MALAYSIA SEMPENA KONVOKESYEN IGB KALI KE-8.
4 Disember, IPOH – Seramai 160 orang graduan IGB Training and Consultancy menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) pada konvokesyen kali ke-8 yang berlansung di Royal Perak Golf Club(RPGC) Ipoh.
IGB dalam kenyataan memaklumkan, konvokesyen ini bagi meraikan pencapaian para pelajar yang berjaya menamatkan kursus SKM mencerminkan komitmen dalam mempersiapkan graduan kepada cabaran global.
Majlis konvokesyen tersebut telah disempurnakan oleh Penaung IGB Training and Consultancy, Dato’Dr. Muhammad Amin Zakaria.
Turut mengiringi beliau adalah Pengurus Besar IGB Training and Consultancy, Suriyani Sadri, Pegawai Pembangunan Kemahiran Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Tengah, Ts. Mohd Amir Jupri, Ketua Unit TVET PASAK, Nur Asyikin Thahar, Pengarah PERHEBAT Perak, Lt. Azri Baharum, Ketua Pegawai Eksekutif RPGC, Hanizah Abdullah, Ketua Unit Program Terapi dan Spa Kolej Komuniti Taiping, Mayaslinda Mahayudin serta graduan yang diraikan.
Suriyani Sadri berkata, ” Semenjak konvokesyen yang pertama sehingga konvokesyen kali ke-8 sekitar 5000 graduan IGB telah berjaya mendapat sijil SKM.
” Untuk tahun ini sahaja seramai 500 pelajar yang mendapat tajaan masih menunggu untuk mengambil peperiksaan di IGB, ini tidak termasuk dibawah program – program yang lain”, ujar beliau kepada pemberita.
Salah seorang graduan Norsazalina Rosli, 47 tahun berasal dari Alor Mengkudu, Kedah berkata, “Saya mengambil SKM tahap 3 bidang urutan terapi kerana apabila memiliki sijil SKM yang diiktiraf maka pelanggan lebih yakin dengan perkhidmatan yang diberikan”, ketika ditemubual.
Pada majlis berkenaan, turut diadakan sesi bergambar bersama graduan dan tenaga pengajar sebagai tanda kenang-kenangan sebelum majlis konvokesyen kali ke-8 melabuhkan tirainya.
Disediakan oleh Azizi Latif.