78 mangsa ribut di 3 lokasi dalam Parlimen Tambun dapat bantuan RM1,000
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Seramai 78 mangsa ribut di tiga lokasi dalam Parlimen Tambun yang kediaman mereka terjejas akibat ribut Sabtu lalu menerima sumbangan tunai berjumlah RM1,000.
Tiga lokasi terlibat adalah Bandar Baru Putra, Taman Putra Indah dan Taman Indah.
Sumbangan kewangan itu daripada Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Tambun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta dan Pejabat Pembangunan (ICU) Perak.
ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata pemberian bantuan ini adalah untuk membantu penduduk membaik pulih rumah mereka yang rosak akibat kejadian ribut tempoh hari.
Menurutnya, sebelum ini bantuan awal sudah diberikan kepada mangsa ribut sejurus selepas kejadian ribut yang berlaku pada petang Hari Malaysia itu.
“Kita sudah memberi bantuan awal iaitu kanvas bagi menutup bumbung yang rosak daripada dimasuki air serta kotak makanan.
“Pemberian sumbangan kewangan ini melalui dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan 40 penerima pada hari ini manakala 38 penerima lagi akan menerima sumbangan sama dalam tempoh terdekat.
“Pada hari ini, kerja-kerja baik pulih mula dijalankan manakala enam rumah lain yang rosak teruk akan digantikan dengan bumbung secara asas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai Majlis Penyerahan Bantuan Wang Bencana Ribut di Pusat Khidmat Rakyat DUN Hulu Kinta, di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah ICU Perak, Datuk Shamsuzaman Sulaiman dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun, Mohd Hairul Amir Sabri.
Dalam pada itu, Muhamad Arafat turut menyampaikan salam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun kepada penduduk yang terjejas dalam insiden ribut tersebut.
“Perdana Menteri atas kapasiti Ahli Parlimen sentiasa cakna berhubung bantuan dan tindakan yang diambil ke atas penduduk terlibat.
“Beliau akan minta kita sediakan kronologi laporan daripada awal hingga akhir mengenai apa berlaku di kawasannya.
“Ini menunjukkan Perdana Menteri sangat prihatin dan ambil berat dengan apa yang berlaku di Parlimen Tambun,” katanya.
#PerakKini #ParlimenTambun #DunHuluKinta #KerajaanMadani #sumbangan #bencanaribut #RBZ