Perak mengalu-alukan pelaburan China dalam industri automotif

IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan menyediakan infrastruktur yang diperlukan bagi mengalu-alukan pelaburan automotif China di Tanjung Malim.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata antara prasarana yang sedang dirancang termasuklah menyediakan lebih banyak rumah mampu milik dan sekolah.
Menurutnya, penambahbaikan itu dibuat susulan perpindahan operasi syarikat Proton Holdings Bhd (Proton) dari Shah Alam ke Tanjung Malim sepenuhnya menjelang 2027.
“Seperti yang kita tahu, Proton telah menukar lokasi operasinya dari Shah Alam ke Tanjung Malim dan itu termasuk vendor mereka Proton Geely.
“Justeru, kerajaan negeri melalui satu jawatankuasa yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim mengadakan satu mesyuarat untuk membincangkan tumpuan yang perlu dilakukan terutamanya dari segi penyediaan infrastruktur yang diperlukan bagi menampung bilangan pekerja yang akan datang ke Tanjung Malim,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Juadah Raya Kerajaan Negeri Perak kepada Pasukan Badan Beruniform di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Selasa.
Dalam pada itu, Saarani berkata kerajaan negeri juga sudah memohon kepada Kementerian Pendidikan untuk menambah lebih banyak sekolah di Tanjung Malim.
“Bayangkan jika terdapat 7,000 pekerja dengan 7,000 keluarga dan mereka mempunyai sekurang-kurangnya tiga anak. Jadi, akan mempunyai 21,000 kanak-kanak bersekolah,” katanya.
Sementara itu, Saarani berkata, semasa berbuka puasa bersama Perdana Menteri dua hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu ada pertemuan yang dibuat bersama pemimpin kanan Proton Geely semasa melawat negara China baru-baru ini.
Menurutnya, Proton Geely akan menambah pelaburan di negara ini sebanyak RM32 billion yang akan masuk ke Proton City melalui pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).
#PerakKini #ProtonCity #ProtonGeely #TanjungMalim #RBZ
