Ajaran Si Hulk difatwakan sesat, seleweng dari ajaran Islam
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan fahaman serta ajaran yang dibawa Suhaini Mohammad atau Si Hulk adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke-221.
Menurutnya, ajaran itu difatwakan sesat berdasarkan beberapa ciri antaranya Suhaini secara jelas mendakwa bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan dan Baginda tidak mempunyai jantina iaitu bukan lelaki dan bukan seorang wanita.
“Selain itu, dia turut menyelewengkan tafsiran Al-Quran huraian surah Taha ayat 120 dan surah Al-Baqarah ayat 35 berkenaan larangan ALLAH SWT kepada Nabi Adam dan Hawa daripada memakan Buah Khuldi dengan dakwaan bahawa buah khuldi yang menjadi larangan untuk dimakan di dalam syurga itu adalah buah zakar dan buah dada,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik Facebook.
Dalam pada itu, Wan Zahidi turut memaklumkan laman Facebook Sohai Ibnu Muhammad dan Facebook Si Hulk didapati memuat naik status mempromosikan air Si Hulk dengan mengeksploitasi elemen agama secara berlebihan bagi menarik minat orang ramai membeli produk tersebut.
“Antara dakwaan berlebihan mengenai khasiat air Si Hulk dikatakan kotak Si Hulk ini adalah peti Tabut yang pernah diberikan ALLAH SWT kepada Talut sepertimana maksud di dalam surah Al-Baqarah ayat 248 yang diselewengkan.
“Meminum air Si Hulk adalah meminum air yang dibeli sendiri daripada Nabi Muhammad SAW dan ramai ahli yang telah minum air tersebut dapat bermimpi berjumpa dengan Baginda.
“Manakala, botol Si Hulk digunakan untuk melaksanakan ritual menangkap jin ke dalam botol dengan cara berselawat kepada Nabi Muhammad SAW sambil membayangkan wajah Suhaini, wajah Sheikh Abdul Qadir al-Jailani dan wajah Baginda (Nabi Muhammad SAW), kononnya ini adalah sama dengan amalan Rabitah para ulama Sufi,” jelasnya.
#PerakKini #SiHulk #sesat #seleweng #agama #Islam #RBZ