Anugerah ini satu penghargaan buat sukan Muay Thai – Rifdean
OLAHRAGAWAN Negeri Perak bagi tahun 2021/2022, Mohamad Rifdean Masdor menyifatkan anugerah yang diterimanya sebagai satu penghargaan buat sukan Muay Thai.
Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu berkata anugerah tersebut didedikasikan kepada pasukan Muay Thai Perak dan Malaysia, jurulatih, rakan-rakan serta ibu bapa tercinta.
“Saya amat terkejut dan teruja kerana terpilih untuk menerima anugerah ini.
“Terima kasih kepada coach (jurulatih) yang banyak membantu saya daripada saya tidak ada apa-apa sampai apa yang saya ada sekarang.
“Tidak lupa kepada ibu bapa serta uncle (pakcik) yang banyak menyokong dan mendorong saya untuk terus maju dalam sukan ini,” kata atlet berusia 21 tahun itu.
Mohamad Rifdean berkata anugerah tersebut juga secara tidak langsung menyuntik semangat beliau untuk terus melakukan yang terbaik dalam sukan Muay Thai.
Sementara itu, Olahragawati Negeri Perak, Nyo Chi Hui tidak menaruh harapan besar untuk memenangi anugerah berprestij tersebut.
“Kemenangan ini memang tidak dijangka. Saya ingat hanya akan membawa balik piala yang kecil tapi tak sangka bawa balik piala yang besar,” ujar atlet berbasikal berusia 19 tahun itu.
Chi Hui berkata sokongan keluarga, jurulatih dan rakan-rakan sepasukan banyak mendorongnya untuk memberikan pencapaian terbaik dalam sukan tersebut.
#PerakKini #KerajaanNegeriPerak #MSN #AnugerahSukanNegeriPerakDarulRidzuan2021202#RBZ