Anwar tidak tolak ansur lawan individu rompak kekayaan negara

Anwar berkata demikian ketika berucap melancarkan program “Semarak Tambun Cinta Al-Quran” dan menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Al-Ittihadiah di sini hari ini. - Foto BERNAMA

IPOH – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur dalam usaha membersihkan Malaysia dan menyelamatkan bangsa daripada tindakan individu yang merompak kekayaan negara.

Anwar berkata beliau mengarahkan kerajaan supaya menyelamatkan negara daripada pemimpin-pemimpin yang mengayakan diri dengan merompak harta kekayaan negeri.

“Itu tekad saya, senang susah saya hadapi. Kalau nak jatuhkan kerana saya lawan rasuah, silakan, tetapi saya tidak akan bertolak ansur daripada bersihkan negara ini dan selamatkan bangsa kita dan negara kita daripada tindakan orang yang merompak kekayaan negara.

Bukan sedikit, dan ini termasuk pimpinan yang ada dalam kerajaan, baik menteri, dalam kalangan kerajaan negeri (exco). Kena ingat, saya arah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) apa, ambil tindakan kepada siapa sahaja yang melakukan rasuah, terutama setelah kita bagi amaran, dia buat juga lagi,” katanya ketika berucap melancarkan program “Semarak Tambun Cinta Al-Quran” dan menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Al-Ittihadiah di sini hari ini.

Anwar berkata beliau tidak terlibat dalam kes mahkamah melibatkan bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

“Apabila kita ambil tindakan (melawan rasuah), kita zalim. Bukan saya ambil tindakan saudara, ini yang paling akhir mantan Menteri Besar Perlis, saya bukan siasat, bukan saya buat laporan ke SPRM atau polis,” katanya.

Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kangar, Perlis hari ini terhadap lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta antara 2013 dan 2017. – BERNAMA

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *