BEKAS SISWAZAH JUAL DURIAN DI KAKILIMA
MANJUNG: Untuk mendapat rezeki yang berkat, tidak kira apa kerja yang harus kita lakukan, asalkan kerjanya itu halal. Itulah pegangan prinsip seorang siswazah dalam bidang kewangan, Arifun Azizi Ghazali.
Berbekalkan ilmu yang dituntutnya di sebuah universiti di Sabah dalam jurusan kewangan membuatkan beliau mahir menguruskan apa jua bisnes yang diceburinya.
Ariffun lebih selesa bekerja sendiri dari makan gaji dengan majikan. Yang terkini, bapa kepada seorang anak perempuan ini menjual buah durian di kaki lima.
” Saya lakukan pelbagai kerja ikut musim, ada musim ikan banyak, saya jual ikan. Sekarang saya jual durian pula yang saya ambil sendiri di Batu Kurau,”
” Kerja kita tak boleh terlalu memilih, asalkan kita kuat berusaha dan minat dalam bidang itu, kita teruskan kerana kita percaya rezeki Allah ada di mana-mana,” ujar Arifun ketika ditemui Perak Kini di lokasi beliau menjual durian di sekitar Manjung.
Beliau setiap hari berulang alik dari Manjung ke Batu Kurau untuk mengambil sendiri durian dari pekebun di Batu Kurau.
” Saya suka lakukan sendiri dari A-Z dalam perniagaan kerana kita sendiri dapat tahun apa karenah yang akan kita tempuhi dalam bisnes yang baru kita ceburi itu,” ujar beliau lagi.
Padanya, segulung ijazah yang dicapainya itu bukan hanya untuk mencari kerja dengan orang, tetapi juga boleh digunakan untuk kita gunakan sendiri sebagai pedoman dalam perniagaan.