BISNES AYAM PASU ERATKAN 3 BERADIK
Oeh Intan Efazila Md Yusop
BEHRANG: Ayam pasu Muallim yang diusahakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa 18 Mac lalu, disusuli Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bakal berakhir hari ini menjadi kenangan terindah dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan buat tiga beradik, dekat Behrang.
Tiga beradik, Mohd Iswandi Ishak, 47, Mohd Yasser Arafat, 36, dan Mohd Azim Hidayat, 30, sebelum ini berniaga di pasar malam, iaitu sebelum PKP dan PKPB dalam menyara kehidupan dan menjana pendapatan harian.
Mohd Azim Hidayat berkata apabila PKP dilaksanakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 menyebabkan mereka kehilangan sumber mata pencarian.
Katanya, kebetulan beliau yang mempunyai resepi ayam pasu Muallim yang dipelajari daripada ahli keluarga terdekat mengambil inisiatif mengusahakan ayam yang dimasak menggunakan pasu bagi mengurangkan beban kedua abangnya yang sudah berkeluarga itu.
” Setiap hari, saya akan menyiapkan resepi dan ayam yang sudah siap digaul dengan rempah ratus tempatan, manakala Mohd Yasser Arafat pula akan membakar ayam itu dalam pasu dengan menggunakan arang kayu.
” Apabila ayam itu siap dimasak kira-kira 30 minit, ayam itu dimasukkan ke dalam bekas besar lalu dipotong dan dimasukkan di dalam bekas bersama sos cili buatan sendiri sebelum Mohd Iswandi pula yang akan melakukan jualan secara tunai semasa serahan ‘ Cash On Delivery’ (COD) ke rumah pelanggan,” katanya ketika ditemui, dekat Behrang.
Beliau berkata ayam yang dimasak dalam pasu mempunyai rasa yang kelainan akibat wap panas yang dihasilkan oleh tanah menjadikan ayam itu mempunyai bau yang menyelerakan , malah ayam itu juga lebih lembab serta tidak terlalu kering terutama jika dibakar dengan arang.
Sementara itu, Mohd Iswandi pula berkata beliau bersyukur idea adiknya itu mampu menjana pendapatan keluarga dalam mengharungi PKP dan PKPB yang telah menjejaskan pendapatan harian mereka.
Katanya, sepanjang mengusahakan ayam pasu ini, hubungan mereka tiga beradik menjadi lebih erat dalam menghadapi susah dan senang dalam kehidupan.
” Inilah hikmah disebalik PKP dan PKPB yang dilalui dan dirasai oleh kami tiga beradik serta menjadikan kami lebih atau saling menghargai dan menghormati dalam kehidupan.
” Apabila melihat sambutan daripada pelanggan dan kerjasama yang erat selama tempoh PKP dan PKPB, maka kami bertiga akan meneruskan jualan ayam pasu ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula demi kelangsungan hidup,” katanya.