Budak 4 tahun minta makanan rupanya mangsa dera

Foto Ihsan Pembaca
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki empat tahun yang bertindak meminta makanan daripada orang awam yang lalu lalang di hadapan rumahnya di sebuah pangsapuri di Menglembu Selasa lalu rupanya mangsa dera ibu dan teman lelaki.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada jam 4.30 petang mengenai kanak-kanak terbabit yang ditemui dalam keadaan kelaparan dan terdapat kesan kecederaan di seluruh badan.
Menurutnya, susulan penemuan itu polis menahan ibu berusia 23 tahun dan teman lelakinya berusia 26 tahun pada jam 7 petang di Menglembu.
Katanya, polis turut merampas paip getah dan rotan yang digunakan suspek terbabit disyaki untuk memukul mangsa.
“Sewaktu ditemui, mangsa didapati ditinggalkan seorang diri dengan pintu jeriji besi berkunci manakala ibu dan teman lelaki tiada di rumah kerana dipercayai sedang bekerja.
“Mangsa hanya ditinggalkan roti dan milo untuk makan dan minum. Akibat lapar, mangsa bertindak meminta makanan daripada orang awam yang lalu di hadapan rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa kini mendapatkan rawatan dan pemerhatian di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.
Tambahnya, saringan ujian air kecil yang dijalankan mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine.
“Kedua-dua suspek direman selama lima hari mulai 3 Ogos untuk siasatan lanjut.
“Di samping itu, polis sedang melengkapkan siasatan kes ini dan akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan,” ujarnya.
#PerakKini #PDRM #dera #kanakkanak #RBZ
