Calon BN perlu tandatangan ‘aku janji’ elak insiden lompat parti berulang – Saarani

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kesemua calon Barisan Nasional (BN) Perak yang dipilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini perlu menandatangani aku janji bagi mengelakkan insiden lompat parti daripada berulang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perkara ini perlu dilaksanakan supaya calon yang diberi mandat oleh rakyat pada PRU15 ini tidak sesuka hati melompat parti seperti yang terjadi pada 2018.

“Okay, lesson learned. Kita belajar dari kesilapan dahulu. Maka, kali ini ada aku janji yang perlu ditandatangani oleh calon-calon supaya mereka tidak sesuka hati membuat keputusan untuk melompat (parti).

“Jadi, sesiapa yang hendak menjadi calon, dia kena bersetuju untuk menandatangani aku janji itu.

“Kalau tidak bersetuju, masih ramai lagi orang yang hendak jadi calon,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi temubual eksklusif Media bersama Menteri Besar Perak Menjelang PRU15 di Laman Seri Ridzuan, di sini malam tadi.

Sebelum ini, Saarani mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak akan mengadakan persidangan khas bagi membentangkan Undang-Undang Tubuh Negeri berkaitan lompat parti sebelum ia dibubarkan.

Katanya, undang-undang tersebut boleh dibentangkan kemudian selepas pilihan raya.

Pada 2018, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dari UMNO – BN menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) Perak sekaligus membentuk kerajaan di Perak.

#PerakKini #BarisanNasional #akujanji #lompatparti #PRU15

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *