CCTV bertenologi AI selesaikan masalah sampah haram

IPOH: Masalah pembuangan sampah secara haram di bandaraya ini dan kawasan sekitarnya semakin menjadi-jadi.

Tahun lalu, lebih 2,800 kawasan panas pembuangan sampah haram dikesan dengan kira-kira RM200,000 kompaun dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Kawasan Pasar Gunung Rapat antara lokasi yang sering menjadi kawasan tumpuan pembuangan sampah haram oleh individu tidak bertanggungjawab.

Menurut peniaga di pasar tersebut, walaupun tong sampah pukal atau roll-on roll-off (roro) disediakan di situ untuk kegunaan peniaga dan penduduk berdekatan, namun ada pihak luar yang turut membuang sampah di situ.

Menurut peniaga sayur, Omar Mohd. Nasir, ramai individu tidak bertanggungjawab membuang sampah pada waktu malam dan melonggok sampah di luar tong roro yang disediakan.

 

“Waktu siang memang tidak banyak sampah, tetapi bila kami datang meniaga esoknya tengok sampah penuh, bukan dalam roro tapi kat tepi tong sampah besar.

“Orang luar yang datang buang sampah pada waktu malam, macam-macam sampah dibuangnya kadang-kadang tengok ada kayu, tilam,” katanya.

Menurut peniaga santan, Hanim Azira Hashim, mereka sangat kesal dengan pihak yang tidak bertanggungajawab itu kerana menyebabkan peniaga di situ tidak dapat membuang sampah walaupun roro disediakan itu untuk kegunaan mereka.

“Banyak orang luar yang datang buang sampah di sini, buang berlonggok-longgok sampah pada waktu malam.

“Esoknya kami peniaga di sini yang kena marah dituduh buang sampah merata-rata,” katanya.

Bagi mengatasi masalah tersebut, pejabat Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, memasang kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi kecerdasan buatan (AI).

ADUN nya, Wong Chai Yi berkata, lima lokasi yang dipasang cctv ialah di Pasar Gunung Rapat, Halaman Ampang Mewah, Persiaran Wira Jaya Timur 50, Jalan Desa Ampang 25 dan Jalan Harilela A1 melibatkan peruntukan RM50,000.

“CCTV ini bukan yang biasa, kita pasang yang berteknologi AI yang boleh ‘zoom in’ untuk kita nampak dengan lebih jelas termasuk nombor plat kenderaan tak kira hujan, siang atau malam.

“Menerusi CCTV ini, imej yang dipaparkan lebih jelas apabila boleh mengenal pasti kenderaan berserta nombor pendaftaran serta perlakuan individu yang membuang sampah secara haram,” katanya.

Chai Yi yang meninjau operasi CCTV di Pasar Gunung Rapat itu pagi tadi bersama Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing berkata, berdasarkan pemasangan lima CCTV sejak Disember, ia telah berjaya mengurangkan kira-kira 90 peratus longgokan sampah haram di lokasi-lokasi yang berkenaan.

Katanya, minggu pertama pemasangan cctv itu, lima kes telah diambil tindakan dengan kompaun RM1,000 dikeluarkan MBI kepada Pembuang Sampah Haram Di Bawah akta jalan, parit dan bangunan 1974.

Sementara itu Kar Hing berkata, pemasangan CCTV itu bertujuan mendidik masyarakat supaya membuang sampah di lokasi yang disediakan dengan lebih teratur.

Katanya, dengan ada CCTV terbabit masayarakat diharap lebih cakna dan dengan isu itu.

 

“Amat mendukacitakan apabila kita lihat kesedaran orang ramai terhadap masalah sampah haram ini kurang memuaskan hinggakan sampah dibiarkan berlonggok meskipun kemudahan sudah tersedia.

“Itu yang menyebabkan kita terpaksa menggunakan dana memasang CCTV ini, kita bukan berniat untuk menghukum pesalah tetapi untuk mencegah dan juga meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *