DATUK BANDAR IPOH BERIKRAR TINGKAT PERKHIDMATAN BANDARAYA
IPOH – Alhamdulillah, demikian lafaz syukur yang dizahirkan oleh Datuk Bandar Ipoh yang baharu atas kepercayaan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Perak untuk memimpin pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Sandrea Ng atas pelantikan tersebut.
“Saya menganggap tanggungjawab ini sebagai satu amanah yang amat mencabar. Prinsip saya adalah untuk terus memberikan sumbangan terbaik tidak kira di mana saya ditugaskan,” katanya dalam Majlis angkat sumpah tugas Datuk Bandar Ipoh pada Jumaat.
Menurut beliau, harapan yang disandarkan oleh wargakota Ipoh adalah tinggi dan justeru itu beliau berikrar akan melaksanakan anjakan paradigma bagi menyampaikan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat serta menjadikan Ipoh sebuah Bandaraya Bestari Sejahtera.
Beliau menegaskan komitmennya dalam merealisasikan Visi dan Misi MBI iaitu menjadikan Ipoh Bandar Wilayah Pintar Berteraskan Mampan dan Bestari Sejahtera serta Memperkasakan Pengurusan Bandar Secara Inklusif Ke Arah Bandar Raya Hijau Pintar, Rendah Karbon dan Bestari Sejahtera Menjelang 2030 bersama seluruh warga kerja MBI.
“Keutamaan akan diberikan kepada tanggungjawab asas seperti pengurusan sampah, sistem perparitan, pemotongan rumput dan penyelenggaraan kemudahan awam termasuk jalan berlubang,” tambahnya.
Beliau juga menyatakan bahawa pelaksanaan program dan inisiatif Ipoh Bestari Sejahtera yang mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa akan terus diperhebatkan.
Antara penghargaan tersebut termasuk Anugerah Scroll of Honour UN-Habitat, Outstanding Planning Achievement in the Commonwealth 2023, Anugerah 4 Diamond Recognition dan 5 Diamond Recognition dalam kategori Bandar Rendah Karbon, serta Anugerah Apresiasi Khas 2024 bagi Bandar Bahagia Mesra Usia.
Datuk Bandar turut menekankan kepentingan menjalinkan hubungan erat bersama pihak Istana, Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta semua pihak berkepentingan dalam pembangunan Bandaraya Ipoh.
Beliau menyifatkan jawatan yang disandang sebagai satu amanah yang bukan sahaja perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, tetapi juga harus dijalankan dengan integriti dan keikhlasan kerana rezeki yang diperoleh mesti datang daripada sumber yang halal.
“Wargakota Ipoh adalah majikan sebenar kita. Maka, perkhidmatan yang disampaikan mestilah berkualiti dan menepati masa agar mereka mendapat kepuasan yang tinggi,” katanya.
Beliau turut menyeru agar pendekatan penyelesaian masalah secara efektif diperkuatkan agar isu-isu rentas sektor dapat ditangani dengan tuntas, bukan lagi dengan kaedah konvensional yang kurang berkesan.
Kepada seluruh anggota MBI, beliau menekankan perlunya sebuah pentadbiran yang cekap dan berintegriti dalam memastikan setiap pelaksanaan dibuat tepat pada masanya dan berpandukan situasi sebenar.
Akhir sekali, beliau turut mengajak semua wargakota Ipoh untuk berganding bahu dalam memajukan bandar ini.
“Membangunkan Bandaraya Ipoh bukanlah tanggungjawab MBI semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama seluruh warga kota. BANDARAYA IPOH ADALAH BANDARAYA KITA BERSAMA,” katanya mengakhiri kenyataan.