DATUK BANDAR IPOH RASMI MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KOPERASI MBI KALI KE-51

IPOH – Datuk Bandar Ipoh, Tuan Zamakhshari Hanipah hari ini telah merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-51 Koperasi Pekerja-Pekerja Majlis Bandaraya Ipoh Berhad yang berlangsung dengan penuh meriah pada Rabu.

 

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Perak Wilayah Negeri, Muhamad Akmal Ibrahim serta Pengerusi Koperasi Pekerja-Pekerja Majlis Bandaraya Ipoh Berhad, R.S.Mahendran

 

Dalam ucapannya, Datuk Bandar menzahirkan harapan agar Koperasi terus memainkan peranan sebagai pelindung kebajikan para anggota, sama ada melalui tabung-tabung kebajikan mahupun perkhidmatan sokongan yang lain, bagi memastikan tiada anggota yang terpinggir daripada perhatian.

 

“Kekuatan sebenar sesebuah koperasi bukan hanya diukur melalui angka dan statistik, tetapi melalui semangat kebersamaan dan kekeluargaan yang terjalin kukuh dalam kalangan anggotanya,” ujar beliau.

 

Beliau turut mengumumkan bayaran dividen atas modal yuran sebanyak 10 peratus dan dividen atas modal syer sebanyak 10 peratus, melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.42 juta.

 

Sebagai rekod, Koperasi MBI kini berada di kedudukan ke-116 daripada 16,000 koperasi di seluruh negara dan menduduki tangga ke-10 di peringkat negeri Perak.

 

Modal anggota telah mencatatkan angka sebanyak RM24 juta manakala jumlah aset pembiayaan telah mencecah RM35 juta – satu pencapaian yang membuktikan tahap kepercayaan tinggi dalam kalangan anggota terhadap koperasi ini.

 

Mesyuarat Agung Tahunan tersebut diharapkan menjadi pemangkin kepada keputusan-keputusan yang mampu membawa koperasi ke arah masa depan yang lebih cemerlang dan gemilang.

 

📸 Majlis Bandaraya Ipoh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *