EMAS ROZITA INFAQ BAKUL MAKANAN KEPADA 300 KELUARGA B40
14 Disember, IPOH – Kedai Emas Rozita Sdn. Bhd mengagihkan sumbangan bakul makanan kepada 300 keluarga disekitar kawasan Medan Gopeng, Ipoh pada hari ini.
Pengurus Kedai Emas Rozita, Shafiq Sahar, berkata penerima sumbangan hari ini adalah terdiri daripada fakir miskin, B40 serta ibu tunggal, layak menerima bantuan sebanyak satu bakul seorang serta yang hadir secara ‘walk-in’.
“Emas Rozita amat prihatin dengan kekangan yang dihadapi mereka terutama yang kurang bernasib baik disebabkan kos sara hidup semakin meningkat.
” Emas Rozita bersimpati dengan kesulitan dihadapi oleh mereka yang memerlukan dan berharap bakul makanan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang ditanggung.
” Kami sentiasa cakna dalam membantu masyarakat dan istimewanya hari ini, terdapat cabutan bertuah iaitu 2 tiket percuma untuk menunaikan umrah yang ditaja sepenuhnya oleh Emas Rozita,” katanya dalam kenyataan bersama media selepas Majlis Infaq Bakul Makanan bertempat di Kedai Emas Rozita, Medan Gopeng.
Majlis ini turut diserikan lagi dengan kehadiran Pemilik Kedai Emas Rozita, Rozita Yusof.
Seorang penerima bantuan, Hamizah Osman, 68 tahun berkata, “Saya tinggal di Taman Sri Rapat dan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Emas Rozita kerana sering berkongsi rezeki dengan masyarakat terutama keluarga B40.
” Saya mendoakan semoga Emas Rozita bertambah maju dalam perniagaan dan saya berdoa semoga perjalanan Puan Rozita menunaikan umrah berjalan dengan lancar,” ujar beliau ketika ditemubual oleh wartawan.
Majlis turut dimeriahkan lagi dengan pelbagai variasi makanan dan minuman yang disediakan untuk setiap tetamu yang hadir.
Disediakan oleh Azizi Latif