Enam kenderaan rosak akibat tembok penghadang jalan runtuh
Keadaan tembok penghadang jalan yang runtuh sehingga menyebabkan kenderaan rosak di Taman Ipoh Timur pada petang tadi. -Foto: Pejabat Ahli Parlimen Ipoh Timur.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Hujan lebat sehingga menyebabkan aliran air di longkang tidak berfungsi dengan baik dipercayai punca tembok penghadang jalan runtuh di Taman Ipoh Selatan, di sini pada Sabtu.
Insiden itu turut menyebabkan enam kenderaan yang diparkir di sepanjang jalan itu rosak akibat ditimpa runtuhan berkenaan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 4 petang tadi.
Beliau turut menghubungi pegawai daerah, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis dan bomba untuk memaklumkan kejadian itu untuk tindakan lanjut.
“Sejurus menerima panggilan daripada orang awam, saya terus ke lokasi dan mendapati enam kenderaan pelbagai jenis tidak dapat bergerak dan dialihkan disebabkan runtuhan dinding penghadang jalan tersebut.
“Kebanyakan pemilik kenderaan terdiri daripada pemilik premis serta pekerja di kedai berhampiran. Sehubungan itu, kita akan membantu mereka untuk membuat laporan polis untuk tindakan susulan.
Menurutnya, kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian turut dilaksanakan supaya kenderaan terjejas dapat dialihkan dan sebahagian laluan di jalan itu turut ditutup bagi proses pembaikan.
#PerakKini #tembok #runtuh #kenderaan #rosakĀ #Ipoh