Ipoh bandar paling murah untuk pendidikan antarabangsa di Asia – Datuk Bandar

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Ipoh diberi gelaran sebagai bandar paling murah di Asia dan dunia untuk persekolahan antarabangsa berdasarkan penyelidikan yang dijalankan oleh Pangkalan Data Sekolah Antarabangsa (ISD), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2022.

Manakala, China terus mendominasi sebagai negara paling mahal di Asia untuk sekolah antarabangsa seperti tahun sebelumnya.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata Ipoh tersenarai dalam pengkalan data buat pertama kali bersama 19 bandar lain.

Katanya, selain Ipoh bandar-bandar yang turut tersenarai adalah Beijing, Shanghai, Shenzhen dan Guangzhou (China); Taipei (Taiwan); Yangon (Myanmar); Bangkok, Pattaya, Chiang Mai dan Phuket (Thailand); Kyoto, Osaka dan Kobe (Jepun); Manila (Filipina); Bali (Indonesia); Phnom Penh (Kemboja); Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur (Malaysia).

“Ipoh ialah bandar baharu yang termasuk dalam penyelidikan terbaru ISD dan telah diberi gelaran lokasi paling murah di Asia manakala kos sekolah antarabangsa dari ibu negara Kemboja Phnom Penh pula menduduki tempat kedua terendah kali ini.

“Harga di Ipoh berkisar antara AS$2,316 (RM9,837.21) hingga AS$3,065 (RM13,018.59) setahun, yang sangat berbeza dengan bandar paling mahal di Asia, Beijing.

“Bagi harga di metropolis China ini berjulat dari atas AS$10,000 (RM42,475) hingga hampir AS$40,000 (RM169,900) setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Januari 2023 di Dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), di sini, pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi berkata daripada 20 bandar yang termasuk dalam analisis ISD Asia, 16 mempunyai harga di bawah AS$15,000 (RM63,712.50) setahun iaitu Taipei, Yangon, Bangkok, Kyoto, Osaka, Kobe, Pattaya, Chiang Mai, Phuket, Manila, Johor Bahru, Bali, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Phnom Penh dan Ipoh.

“Malaysia dan Thailand adalah negara paling berpatutan di Asia apabila melibatkan kos pendidikan antarabangsa.

“Tiga bandar Thailand (Pattaya, Chiang Mai dan Phuket) dan empat bandar Malaysia (Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Ipoh) termasuk dalam 10 lokasi paling murah di benua Asia.

“Di peringkat global, New York City kekal sebagai metropolis paling mahal di seluruh dunia untuk persekolahan antarabangsa.

“Malah, ia menjadi lebih mahal sejak 2021, dengan harga maksimum mendahului AS$60,000 (RM254,850) setahun buat kali pertama,” jelasnya.

Menurutnya, Switzerland kekal sebagai negara Eropah yang paling mahal untuk persekolahan antarabangsa manakala Copenhagen kekal sebagai bandar paling murah untuk persekolahan antarabangsa di Eropah, walaupun reputasinya sebagai destinasi kos tinggi.

#PerakKini #Ipoh #bandaraya #pendidikan #murah #Asia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *