Ipoh tumbangkan Betong 4-1 pada Kejohanan Muay Thai Antara Bandaraya
Oleh Rosdalilah Zahari
KEJOHANAN Muay Thai Antara Bandaraya menyaksikan pasukan Ipoh (Malaysia) berjaya menumpaskan pasukan dari Betong (Thailand) 4-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Akademi Muay Thai Headhunters Ipoh, malam tadi.
Kemenangan ini disumbangkan juara dunia tiga tahun berturut-turut, Mohamad Rifdean Masdor; juara dunia tahun ini, Nur Amisha Azrilrizal termasuk dua atlet muay thai negara iaitu Muhammad Fadzmi Aiman Mohd Fadzli dan Muhammad Amirul Adli Sali Meha mengikut kategori masing-masing.
Bagaimanapun, seorang lagi atlet muay thai negara, Raja Izzati Raja Annuar tewas kepada petinju dari Betong, Nong Neng bagi kategori 48 kilogram (kg).
Daripada lima pertarungan yang berlangsung, Muhammad Fadzmi Aiman yang bertarung di bawah kategori 54kg menyingkirkan pesaingnya, Pitong menerusi pukulan ‘knockout‘ (KO) pada pusingan pertama.
Lain-lain keputusan, Mohamad Rifdean menewaskan Nikcha Jitmuenon (kategori 51kg), Nur Amisha menumpaskan Seng Chan (kategori 51kg) dan Muhammad Amirul menumbangkan Santichai (kategori 57kg).
Dalam pada itu, Olahragawan Negeri Perak bagi tahun 2021/2022, Mohamad Rifdean turut dinobatkan sebagai pemain terbaik pada kejohanan itu.
Kira-kira 700 penonton terdiri daripada pelbagai peringkat usia hadir menyaksikan pertarungan malam tadi.
Kejohanan anjuran Persatuan Muaythai Perak (PMP) sempena Tahun Melawat Ipoh 2023 itu dirasmikan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud, turut dihadiri Penaung PMP, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Skuad Muay Thai Kebangsaan, Bernard Anak Radin berkata beliau tidak menjangka pasukan Ipoh akan memenangi kejohanan ini kerana pasukan lawan menghantar atlet muay thai terbaik.
Penerima Anugerah Jurulatih Terbaik Negeri Perak 2021/2022 itu berkata pihaknya juga sudah mendapat ‘lampu hijau’ daripada Datuk Bandar untuk mengadakan kejohanan muay thai yang berskala besar serta melibatkan penyertaan lebih banyak negara pada masa akan datang.
#PerakKini #MuayThai #Ipoh #Betong #Malaysia #Thailand #RBZ