IPT Perlu Jadi Hab Inovasi Negara

TANJUNG MALIM – Institusi pengajian tinggi (IPT) perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memperkasa budaya inovasi negara melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) berimpak tinggi bagi menangani cabaran sebenar masyarakat.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, berkata inovasi tidak lagi bersifat pilihan, sebaliknya menjadi keperluan strategik dalam memastikan kelestarian dan daya saing negara pada masa hadapan.
“Kita melangkah ke era baharu yang bukan sahaja memerlukan ilmu pengetahuan, tetapi juga keupayaan untuk berinovasi, menyesuaikan diri dan menyumbang secara bermakna kepada masa depan bersama.
Beliau berkata IPT tidak lagi boleh dilihat sebagai ‘kilang peperiksaan’ semata-mata, sebaliknya perlu menjadi pusat pembentukan sahsiah, kecemerlangan intelektual dan hab inovasi negara.
Megat Sany berkata, penubuhan unit Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Keusahawanan (RDICE) di semua IPT merupakan langkah strategik bagi memperkukuh ekosistem inovasi yang lebih mampan dan dinamik.
Beliau turut menekankan kepentingan pelaksanaan model heliks kuintuple, iaitu kerjasama antara akademia, industri, kerajaan, komuniti dan alam sekitar sebagai pemacu inovasi dan pembangunan inklusif negara.
“Program seperti Edu@Innovate dan Festival TVET bukan hanya platform pameran, malah medan untuk memperkasa TVET sebagai pemacu kreativiti dan modal insan Revolusi Industri Keempat dan Kelima.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Edu@Innovate, Festival TVET dan SEPAKAD 2025, yang diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini, sempena penganjuran Mini FOI Putrajaya@Perak 2025.
Mengulas lanjut, beliau berkata pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dilihat sebagai laluan strategik yang penting dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan teknousahawan masa depan.
“TVET bukan pilihan kedua. Ia membekalkan pelajar dengan kemahiran teknikal, analitikal dan kepimpinan serta menyokong ekosistem inovasi negara,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025–2035 meletakkan Kompetensi TVET Lanjutan sebagai antara agenda utama KPT dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.
Katanya, inovasi pendidikan tidak hanya tertumpu kepada penggunaan teknologi digital, malah memerlukan anjakan paradigma dan pembaharuan pedagogi berasaskan nilai dan kelestarian.
“Kita perlu berani mencabar norma lama, merapatkan jurang digital dan memperkukuh keselamatan siber dalam pendidikan,” ujar beliau.
Oleh: Bazli Razak





