Isu parkir di tepi jalan HRPB, KK Greentown, Exco Kesihatan akan bertemu Ketua Polis, MBI pertimbang tidak saman pada waktu puncak

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Orang awam yang berurusan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Klinik Kesihatan Greentown di sini sering berhadapan dengan masalah saman trafik dan saman daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) jika meletakkan kenderaan di tepi jalan ketika waktu puncak.

Berikutan itu, Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri A Sivanesan berkata, pihaknya akan bertemu dengan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri pada minggu hadapan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung masalah tersebut.

Menurutnya, selain polis beliau akan mengadakan mesyuarat dengan MBI supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dapat mempertimbangkan untuk tidak mengeluarkan saman kepada kenderaan yang diparkir di tepi jalan sepanjang HRPB dan klinik kesihatan itu.

“Minggu depan saya akan jumpa dengan Ketua Polis Perak dan akan bincang supaya pihak polis untuk waktu tertentu jangan keluarkan saman terhadap orang yang parkir di tepi jalan khasnya pagi, jam 8 hingga 11.30 pagi atau 12 dan pada waktu melawat.

“MBI pula, kita juga akan adakan mesyuarat minta cadangan mereka untuk uruskan hal tersebut.

“Sekarang aduan yang kita terima memang parkir tidak mencukupi, itu kita akui, sekurang-kurangnya bila perbincangan itu dilakukan, orang ramai lega sedikit tidak disaman,” katanya pada sidang media khas berhubung isu tersebut di Klinik Kesihatan Greentown, di sini hari ini.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *