Jawatankuasa Tatatertib PBI gantung pasukan ARL FC susulan insiden kejar pengadil
Oleh Rosdalilah Zahari
JAWATANKUASA Tatatertib Persatuan Bola Sepak Ipoh (PBI) membuat keputusan menggantung pasukan ARL FC selama tiga tahun serta didenda RM500 berikutan insiden pengadil diserang selepas perlawanan separuh akhir Liga Bola Sepak Ipoh di Taman DR Seenivasagam pada Jumaat lalu.
Pengerusinya, Mohd Zakaria Mohamed berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Kali Pertama bagi Penggal 2023/2025 jawatakuasa terbabit semalam.
Menurutnya, Ketua Jurulatih Mohammad Azahar Arafullah dan Penolong Jurulatih Mohd Zaidi Abdul Hamid pasukan ARL FC turut digantung selama lima tahun di atas kesalahan tersebut.
“Tempoh penggantungan bagi kelab serta dua individu itu bermula pada tarikh kesalahan dilakukan iaitu 14 September 2023. Bagaimanapun, kesemua yang terlibat boleh mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Zakaria turut menggantung Ketua Jurulatih pasukan GMC, Ahmad Faridzul Harun selama lima perlawanan dan denda RM300 kerana membaling objek serta mengeluarkan kata-kata yang menghina kepada pengadil perlawanan selepas menerima kad merah.
“Pemain simpanan pasukan GMC, Nor Shahrul Rizan Jumahary juga dikenakan tindakan digantung tiga perlawanan serta denda RM200 melibatkan tiga kesalahan termasuk mengeluarkan kenyataan di dalam media sosial mengenai mutu pengadilan pengadil PBI,” jelasnya.
Tambahnya, penyokong dan pemain-pemain simpanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson yang masuk ke padang setelah pengadil meniup wisel penamat bagi meraikan kemenangan diberikan amaran keras.
Perak Kini pada 15 September lalu melaporkan sekumpulan jurulatih dan pemain bertindak mengejar pengadil selepas dipercayai tidak berpuas hati atas keputusan dalam satu perlawanan bola sepak yang berlangsung di padang Taman D R Seenivasagam, di sini pada 14 September lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pihaknya tidak menerima laporan polis berhubung insiden tersebut.
#PerakKini #PDRM #PBI #bolasepak #RBZ