KELAB BAKTI GUNUNG KELEDANG BERKOLABORASI BERSAMA M.NASIR

IPOH – Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) telah menganjurkan Majlis Makan Malam Amal Nusantara bersama Datuk Dr M. Nasir dengan suasana penuh kemeriahan.

 

Sultan Perak , Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis tersebut anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang, bertempat diPusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini, malam tadi.

 

Keberangkatan baginda berdua kira-kira pada pukul 8.30 malam disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

 

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Datuk Seri Diraja Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zaki Mahyudin serta Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.

 

Presiden Kelab Bakti Gunung Keledang, Clr Muhammad Hamzah Md Hamdan dalam sembah ucapan berkata, penganjuran makan malam amal itu bertujuan mengumpul dana untuk Yayasan Bakti Gunung Keledang bagi pelaksanaan program dan aktiviti kebajikan sepanjang tahun ini.

 

KBGK turut juga menyasarkan untuk membantu kerajaan negeri menyebarluas maklumat berkaitan program TVET dalam usaha memperkasa bidang tersebut.

 

Turut disampaikan di dalam majlis itu adalah sumbangan kepada 10 badan amal terpilih antaranya Rumah Anak Yatim Cahaya Kasih Abie, Pusat Pendidikan Orang Asli Kampung Lalang, Tabung Pelajar Yatim The Malay College Kuala Kangsar, Lembaga Pelawat Hospital Raja Permaisuri Bainun serta beberapa pertubuhan lain.

 

Pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MoU) antara KBGK dengan beberapa badan antaranya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI); Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS); dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) turut disempurnakan pada malam tersebut.

 

Majlis turut diserikan dengan persembahan penyanyi terkemuka tanah air Datuk M. Nasir yang menghiburkan para tetamu dengan lagu – lagu terkenal beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *