KONGSI TANDAS JIRAN AKIBAT RIBUT

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

BAGAN SERAI– ” Pintu tandas tak boleh buka, bumbung hilang dan buat masa ni kami terpaksa tumpang tandas jiran”.

Demikian penceritaan salah seorang mangsa ribut apabila tandas utama kediamannya di Parit Mentara 3,disini musnah akibat ditimpa bumbung utama rumah yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut, semalam.

Mangsa, Mohd Sofian Aran, 32, berkata dalam kejadian yang berlaku pada jam 12. 30 tengah hari, hanya ibu dan seorang abang berada dirumah manakala dia sedang berkerja di sebuah kilang di Pulau Pinang.

Menurutnya sejurus menerima panggilan dari rakan di kampung mengenai kejadian ribut yang membabitkan rumahnya, dia memohon kebenaran dari majikannya untuk pulang ke rumah.

” Sebaik sampai dirumah saya terkejut dapati bumbung utama rumah diangkat angin dan menimpa bahagian tandas di bahagian belakang rumah.

” Kesan dari itu tandas utama rosak dan tak dapat digunakan lagi.

” Buat masa ini kami terpaksa meminjam dan berkongsi tandas dengan jiran, “katanya ditemui media selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Sahabat Parlimen Bagan Serai.

Menurutnya lagi ini merupakan kejadian kali ketiga berlaku sepanjang dia dan keluarga menetap disitu.

Dalam pada itu Noor Azmi berkata kejadian ribut itu menyebabkan sekurang-kurangnya, 12 buah rumah di Parlimen Bagan mengalami kerosakan.

Menurutnya lagi pihak parlimen dijangka akan menanggung kos membaik pulih kediaman yang rosak dalam kejadian ribut itu.

” Hari ini kita turun padang bagi meninjau tahap kerosakan dan turut menyampaikan bantuan awal kepada semua mangsa yang terlibat.

” Berikutan kekerapan bencana alam seperti ribut dan banjir berlaku di Kerian khususnya di Parlimen Bagan Serai, pusat khidmat kami sebenarnya menyediakan peruntukkan RM 500,000 khas setiap tahun bagi membantu mangsa-mangsa bencana.

” Diharapkan pihak kerajaan dapat mengkaji semula bentuk dan jumlah peruntukkan atau bantuan bagi membantu mangsa-mangsa bencana disini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *