KPDN Perak bongkar premis jual aksesori telefon bimbit berjenama terkenal tiruan, peniaga ditahan

Penguat Kuasa KPDN Perak memeriksa premis yang menjual aksesori telefon bimbit berjenama terkenal dalam serbuan di Falim, semalam. Foto KPDN Perak

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu sebuah premis perniagaan yang dipercayai menjual aksesori telefon tiruan berjenama terkenal di Pusat Perniagaan Falim, di sini pada Isnin.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan sekitar jam 10 pagi itu adalah hasil aduan dan risikan Penguat Kuasa KPDN Perak dengan kerjasama daripada wakil syarikat pemilik cap dagang.

Menurutnya, ketika pemeriksaan dijalankan premis berkenaan sedang beroperasi dan menjalankan perniagaan menjual aksesori peralatan telefon secara borong.

“Pemeriksaan lanjut oleh penguat kuasa KPDN Perak menemui Super Cable Charge Type- C (215 unit), pengecas (230 unit), USB Cable 5A Fast Charge (443 unit), Buds classic (121 unit), bateri (141 unit) dan fon telinga (1,143 unit) yang disyaki menggunakan cap dagang palsu jenama terkenal dan diletakkan di rak jualan dalam premis berkenaan.

“Seorang lelaki tempatan berumur 43 tahun yang mengaku pemilik premis turut berada di tempat kejadian ketika pemeriksaan dilakukan.

“Lelaki terbabit ditahan sementara untuk membantu siasatan dan semua barangan yang disyaki menggunakan cap dagang palsu termasuk dokumen berkaitan disita untuk siasatan lanjut serta nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM3,308.20,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Kamalludin berkata siasatan awal mendapati premis yang beroperasi kurang dua tahun ini menjalankan perniagaan secara jual borong dan akan menjualnya kepada pembeli yang berdaftar dengan syarikat dengan syarat minimum pembelian adalah 10 unit ke atas.

“Wakil syarikat cap dagang telah melakukan pengesahan awal ke atas barangan terbabit dan disyaki premis telah melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 kerana mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan.

“Apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 iaitu kesalahan yang disyaki dilakukan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019,” jelasnya.

#PerakKini #KPDNPerak #aksesoritelefon #berjenama #palsu #Falim #Ipoh #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *