KPDN Perak serbu kedai dobi simpan gas LPG tanpa lesen

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Sebuah kedai dobi di kawasan Perindustrian Ringan Bercham diserbu pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Perak semalam kerana disyaki menyimpan gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan pada jam 9.30 pagi itu berjaya merampas 55 tong gas LPG 14 kilogram (kg) dan 50kg yang dianggarkan bernilai RM18,713.80 termasuk dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati premis sedang beroperasi dan menjalankan perniagaan dobi mencuci cadar termasuk tuala daripada hotel.

“Seorang wanita tempatan berusia 35 tahun yang mengaku sebagai pembantu premis yang menjalankan operasi perniagaan turut berada di tempat kejadian.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui sejumlah tong LPG pelbagai jenama berada di dalam sebuah stor dan digunakan untuk mesin pengeringan pakaian,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata pembantu premis gagal mengemukakan sebarang lesen CSA (Control Supply Act) bagi borong atau runcit atau permit barang kawalan berjadual LPG apabila diminta semasa pemeriksaan dijalankan.

“Justeru, kesalahan telah dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan LPG ditempat yang tidak dilesenkan,” katanya.

Kamalludin berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

#PerakKini #KPDN #tonggas #LPG #kedaidobi #Bercham #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *