KPDN PERAK TUMPASKAN AKTIVITI PENJUALAN SABUN BERJENAMA TIRUAN 

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Perak telah melakukan dua serbuan ke atas premis perniagaan yang berasingan di Seri Iskandar dan Taiping melalui satu operasi membanteras penjualan dan pengedaran sabun

pencuci berjenama terkemuka.

 

Serbuan dilakukan hasil maklumat dan aduan oleh wakil Pemilik Cap Dagang berhubung penjualan sabun pencuci berjenama terkenal yang disyaki tiruan di premis-premis berkenaan.

 

Hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menemui sebanyak 393 unit sabun pencuci yang kesemuanya disyaki menggunakan cap dagangan berjenama yang dipakaikan dengan salah pada barangan tersebut.

 

Wakil syarikat cap dagang telah melakukan pengesahan awal ke atas semua sabun pencuci terbabit dan disyaki premis telah melakukan kesalahan di bawah Sek 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan dan kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

 

Nilai rampasan keseluruhan melibatkan 2 premis di daerah tersebut dianggarkan berjumlah RM7,104.27.

 

KPDN juga ingin menegaskan agar peniaga tidak menjual barangan tiruan dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang melanggar Akta Cap Dagangan 2019. Apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak:

i) jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi lima belas ribu ringgit bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu, dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi tigapuluh ribu ringgit bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar; atau

ii)jika orang itu ialah bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar, atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

 

Pengarah KPDN Perak,Dato Kamaluddin Ismail menyatakan, “Selain menjaga hak pengguna, KPDN turut memandang serius dalam melindungi hak pemilik cap dagang melalui pemantauan dan risikan berterusan ke atas premis yang menjual barangan berjenama bagi membanteras penjualan barang tiruan seterusnya dapat meningkatkan keyakinan pelabur asing terutamanya di Negeri Perak”.

 

Kesemua barangan dan dokumen telah disita untuk siasatan lanjut.

Sebarang maklumat berkenaan perkara tersebut boleh disalurkan ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan atau melalui saluran-saluran berikut:

i. Aplikasi WhatsApp KPDN di talian 019-848 8000

ii. Portal e-aduan KPDN (https://eaduan.kpdn.gov.my);

iii. Call Centre 1-800-886-800

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *