Larangan jual arak di kawasan majoriti muslim bakal dikuatkuasa di Ipoh

IPOH: Larangan penjualan minuman keras di semua kedai serbaneka di kawasan majoriti penduduk beragama Islam bakal dikuatkuasakan di Ipoh.

 

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kelulusan dasar penguatkuasaan tersebut telah dibuat pada hari Jumaat.

 

Menurut Datuk Rumaizi, Gugusan Manjoi yang merupakan perkampungan Melayu terbesar di Perak dengan lebih 40,000 penduduk bergama Islam bakal menjadi lokasi pertama menguatkuasakan larangan itu.

 

“Kelulusan untuk penguatkuasaan itu telah diluluskan pada peringkat dasar serta kajian.

 

“Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada dasarnya bersetuju ekoran tuntutan yang dibuat oleh masyarakat setempat,” katanya.

 

Ujar Datuk Rumaizi, perkara itu sedang dalam peringkat kajian dan belum ada tarikh tertentu untuk penguatkuasaan.

 

Katanya, MBI tidak boleh menolak tuntutan yang dibuat untuk melarang penjualan arak di kawasan melayu.

 

Namun katanya, aspek lain juga akan dipertimbangkan sebelum ia dikuatkuasakan.

 

Datuk Rumaizi berkata demikian kepada media selepas melancarkan pembukaan Kafe FengCha di Ipoh hari.

 

Beliau mengulas mengenai tuntutan beberapa pertubuhan belia Islam dan ahli majlis MBI yang meminta penjualan arak atau minuman arak di kawasan orang Melayu dihentikan.

 

Sebelum ini, satu lagi pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak iaitu Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) telah menguatkuasakan larangan penjualan minuman keras di semua kedai serbaneka di kawasan majoriti penduduk beragama Islam.

 

Penguatkuasaan itu diputuskan melalui perbincangan dalam Mesyuarat Penuh Ahli Majlis MPKK Bilangan 11/2021.

 

Ia dibuat susulan minuman keras mudah didapati sedangkan majoriti penduduk di Kuala Kangsar adalah orang Islam, selain mengambil kira kebanyakan pekerja di kedai serbaneka di Kuala Kangsar juga dalam kalangan muslim.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *