Liga Manjoi kembali beraksi selepas 16 tahun

Majlis pelancaran Liga Manjoi 2023 Piala Akmal Zharif di Casuarina @ Meru yang diadakan pada Ahad.

Oleh Rosdalilah Zahari

LIGA Manjoi kembali beraksi pada tahun ini selepas 16 tahun terhenti.

Setiausaha Politik kepada Menteri Luar, Akmal Zharif Ahmad Kamal berkata kali terakhir liga ini diadakan adalah pada tahun 2006.

Justeru, beliau mewujudkan semula Liga Manjoi ini yang dilihat mampu menjadi platform untuk melahirkan pemain bola sepak terkenal seperti Khalid Jamlus dan V Saravanan.

“Saya memang membesar di Kampung Manjoi dan Liga Manjoi ini bukan asing kepada saya dan sahabat-sahabat.

“Saya mengambil inisiatif untuk wujudkan semula Liga Manjoi sebab saya tengok program ini menjadi satu penantian kepada setiap penduduk di Manjoi.

Setiausaha Politik kepada Menteri Luar, Akmal Zharif Ahmad Kamal

“Jadi, saya ambil kesempatan untuk buat balik, bukan benda baharu tapi benda yang sama cuma dimodenkan sedikit.

“Melalui liga ini secara tidak langsung dapat mencungkil bakat baharu yang mampu melahirkan pemain-pemain muda yang boleh diketengahkan sebagai pemain Perak dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu majlis pelancaran Liga Manjoi 2023 Piala Akmal Zharif di Casuarina @ Meru.

Pelancaran tersebut disempurnakan Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman.

Sebanyak 12 pasukan telah mengambil bahagian dalam pusingan awal bulan lalu bagi mencari enam pasukan yang layak ke pusingan akhir bagi merebut Piala Akmal Zharif.

Liga ini akan bermula hujung minggu ini di Padang Lintau melibatkan enam pasukan secara ‘round robin’.

#PerakKini #LigaManjoi #PialaAkmalZharif #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *