M Daud Kilau sudah sedarkan diri
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Pelantun lagu Cek Mek Molek, Datuk M Daud Kilau sudah mula sedarkan diri dan berada dalam keadaan stabil sejak malam tadi.
Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan anak kedua beliau, Ahmad Zaini, 51, ketika dihubungi hari ini.
Dia memaklumkan bahawa bapanya sudah sedar serta boleh makan dan minum.
“Dato (M Daud Kilau) dah sedar dah boleh makan. Semalam, (M Daud Kilau) tak boleh makan dan minum,” ujarnya ringkas.
Sementara itu, isteri M Daud Kilau, Datin Rohani Awang Ngah, 62, berkata, keadaan suaminya masih lemah, namun sudah boleh diajak berbual.
“Bila saudara mara datang, dia bersembang juga, tapi tidak boleh lama. Bila rasa penat dia akan pejamkan mata semula dan tidur,” katanya.
Penyanyi veteran terkenal yang digelar Raja Gelek Malaysia itu dimasukkan ke Hospital Teluk Intan (HTI) di sini, selepas mengadu sesak nafas tengah malam, Rabu lalu.
#PerakKini #MDaudKilau