MAJLIS PELUNCURAN SKIM RUMAH IBU 2025
IPOH – Skim Rumah Ibu (SRI) merupakan skim pertama yang dilancarkan di Perak merupakan alternatif untuk rakyat memiliki rumah mampu milik diatas tanah yang telah dianugerahkan oleh kerajaan negeri dengan kemudahan yang bersesuaian dengan kehendak dan keperluan penduduk.
Seramai 200 pemilik tanah bakal menerima manfaat bagi membina rumah mampu milik menerusi SRI.
Majlis Peluncuran SRI telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menter , Shamsul Iskandar Mohd Akin bertempat di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Bukit Kinding, Tanjung Rambutan pada Jumaat.
Turut mengiringi beliau ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varasai Mahamad, Pengasas Rumah Ibu, Dr Kamarul Rashdan Salleh, Ketua Penolong Pegawai Daerah Ipoh, Laila Mazuin Zakaria, Pengarah Eksekutif Rumah IBU Sdn Bhd, Heni Rosanti Azryadi serta Pengurus Besar Rumah IBU Sdn Bhd, Rozaimir Zulkifli.
Shamsul berkata, “Ini adalah satu inisiatif dan ikhtiar yang baik, bahawa di bawah kerajaan Malaysia Madani pimpinan Datuk Seri Anwar antara teras itu adalah prinsip kesejahteraan.
” Apabila kita sebut soal kesejahteraan tentulah melibatkan program -program yang boleh memberikan kelegaan kepada warga, kepada rakyat dan aspek perumahan ni satu perkara yang sangat membantu untuk memenuhi hasrat dan aspirasi tersebut.
“Jadi kita harap akan ada perundingan yang di antara pemilik-pemilik tanah ini dengan pihak Rumah IBU Sdn Bhd dan rakan-rakan kolaborasi mereka termasuk juga pihak bank yang memberikan dana dan membiaya projek ini.
“Kita harap dengan adanya kolaborasi ini akan menjadi contoh kepada syarikat-syarikat swasta yang lain, agar mereka juga turut terlibat dengan aktif dalam menyediakan ataupun terlibat bersama-sama dalam program menjayakan rumah, konsep rumah mampu milik,” ujar beliau.
Usai peluncuran majlis telah diadakan upacara ‘Pecah Tanah 200 Tapak Rumah Ibu’ serta ‘Pemeteraian Memorandum Persefahaman’ (MOU) dan penyerahan surat perlantikan rakan pelaksana Rumah IBU Sdn Bhd.