Mamat gembira nak jumpa 2 ‘rakan lama’ berjubah putih
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Malam sebelum arwah Mamat Khalid menghembuskan nafas terakhir, beliau dengan nada gembira menyatakan akan bertemu dua orang ‘kawan lama’.
Isteri Allahyarham, Hasmah Hassan berkata beliau ada terdengar dari rakan suaminya bercerita mengenai perkara itu namun tidak mengetahui siapa rakan lamanya itu.
“Cuma ada terdengar kawan dia (arwah) bercerita, malam itu ada dua orang datang nak jumpa dia, kawan lama. Dia happy to see them.
“Dia (arwah) ada nampak macam dua orang berjubah putih, dia kata dia happy nak jumpa. Kita pun tak tahu siapa. Padahal budak (rakan yang bercerita) tu tak nampak. Itu yang…tak tahu kan,” luah Hasmah ketika ditemui di kediamannya di Taman Ipoh Jaya Timur 1, pada Isnin.
Terdahulu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Zakaria Abdul Hamid meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi dan menyampaikan sumbangan pada sesi Ziarah Kasih Finas Menyantuni Ahli Keluarga Allahyarham Mamat Khalid di sini.
Hasmah yang lebih mesra dengan panggilan Kak Intan mengucapkan terima kasih kepada Finas yang menyampaikan sumbangan tersebut.
“Finas datang dua kali, masa dia sakit dan ni second time. Maksudnya Finas menghargai kerja-kerja seni, orang yang kerja dalam bidang seni jadi support la Finas,” jelasnya.
Sementara itu, Zakaria ketika ditemui media memaklumkan beliau mewakili Finas mengucapkan takziah kepada keluarga pengarah dan penerbit yang disanjungi itu.
”Sepatutnya saya datang semalam tetapi ketika itu saya berada di Pahang jadi saya terpaksa tangguh untuk datang,” ujarnya.
Beliau menyifatkan pemergian arwah disifatkan sebagai kehilangan sebutir permata dalam industri yang tiada galang ganti.
”Karya Abang Mamat ini adalah satu karya yang agak unik, jika kita tengok filem iaitu bagaimana dia mengembalikan nostalgia cerita di perkampungan dan sebagainya,” katanya.
Zakaria berkata, mungkin ada segelintir mempertikaikan hasil kerja dan karya arwah yang sebenarnya unik dan tiada tolok banding.
”Mungkin ada orang mempertikaikan seperti yang pernah saya dengar filem bodoh dan sebagainya, tetapi sebenarnya karya yang ditunjukkan oleh beliau adalah satu karya yang begitu terkesan kepada masyarakat.
”Beliau menampilkan kerja dan penggambaran di kawasan kampung, tidak perlu menonjolkan banglo yang gah, kereta mewah atau pelakon cantik yang mempunyai jutaan pengikut tetapi dia tetap dapat menerbitkan sebuah filem yang ‘box office’.
Katanya, dalam masa yang sama Abang Mamat juga perlu dihargai kerana banyak mencungkil bakat yang agak luar biasa dan bakat daripada orang kampung antaranya termasuklah Pak Jabit mempunyai nilai yang tersendiri.
Ahad lalu, media melaporkan media melaporkan Pengarah terkenal Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Slim River, Perak, awal pagi
Allahyarham pengsan di restorannya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim, Perak sebelum dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia.
Mamat Khalid meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan dan lima anak iaitu Mohd Khalid Zaffa, Nor Sara, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Amen dan Nur Hassanan.
Antara karyanya yang paling popular ialah Hantu Kak Limah, Zombie Kampung Pisang, Man Laksa, Rock Oo dan 18 Puasa di Kampung Pisang.