Me’nate Steak Hub ke-8 dibuka di Ipoh sasar jualan RM1 juta
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Peminat makanan Barat berasaskan daging boleh menjamu selera di Me’nate Steak Hub yang baru membuka cawangan kelapan mereka di Jalan Dato’ Ahmad Said, Greentown, di sini.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Palace Butcher Resources Sdn Bhd yang juga pemilik Me’nate Steak Hub, Syed Ashraf Syed Ali berkata pembukaan cawangan itu adalah berdasarkan permintaan warga Perak yang selalu berkunjung ke restoran mereka di Kuala Lumpur.
Menurutnya, menu disediakan sama seperti yang terdapat di cawangan sebelumnya antaranya makanan Barat, makanan Itali, pasta, pizza, makanan laut seperti udang karang dan ikan siakap (sea bass).
“Harga yang ditawarkan restoran kami amat berpatutan dan mampu dinikmati pelanggan.
“Bagi menu daging, harga dijual mengikut jenis dari murah hingga yang paling mahal.
“Pelbagai jenis pilihan daging boleh didapati di sini antaranya termasuklah Wagyu dan Angus serta semua daging diimport daripada New Zealand, Australia, Jepun dan Amerika Syarikat. Manakala, daging kambing pula diimport daripada New Zealand,” katanya.
Beliau ditemui pada upacara perasmian Me’nate Steak Hub cawangan Ipoh, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi; Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri; Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; CEO Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Izwan Zainuddin dan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.
Dalam perkembangan sama, Syed Ashraf menyasarkan akan membuka restoran berkenaan di kawasan Utara iaitu di Kedah dan Pulau Pinang.
Katanya, sebelum ini restoran berkenaan telah dibuka di beberapa negeri lain iaitu di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan Kelantan.
Menyentuh mengenai sasaran jualan di Perak, beliau menjangkakan restoran berkenaan mampu menyasarkan antara RM800,000 hingga ke RM1 juta.
“Perniagaan kami hampir pulih 100 peratus apabila kerajaan membenarkan premis makanan beroperasi semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Masa PKP kita ada strategi lain melalui jualan Me’nate Box dengan menyediakan steak seperti di kedai dalam keadaan panas dan cantik untuk dihantar kepada pelanggan di rumah.
“Benda ini amat membantu, walaupun perniagaan sedikit terjejas namun kami tidak membuang pekerja,” jelasnya.
Orang ramai yang ingin merasa keenakan makanan di Me’nate Steak Hub boleh datang sendiri ke alamat No. 5, Jalan Dato’ Seri Ahmad Said, Greentown, 30450 Ipoh.
Restoran ini dibuka setiap hari dari jam 11 pagi sehingga 11 malam (Kecuali Jumaat ditutup pada jam 12.30 tengah hari ke 2.30 petang tutup untuk solat Jumaat).