Merokok di tempat awam, premis makan, JKN Perak keluar 424 notis
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak mengeluarkan sebanyak 424 notis kepada individu dan pemilik premis atas pelbagai kesalahan merokok membabitkan kompaun berjumlah RM103,950.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, notis kesalahan itu dikeluarkan di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 di bawah Peraturan 11 menerusi Operasi Mega Bersepadu penguatkuasaan tembakau dan hasil tembakau di sekitar negeri ini pada Khamis.
“Daripada jumlah berkenaan, 202 notis di premis makan, kompleks beli-belah (108), kenderaan awam (34), premis kerajaan (28), klinik/hospital (8), kawasan rehat dan rawat (7), pusat hiburan (2) dan lif/tandas awam (1).
“Manakala kesalahan di bawah Peraturan 12 membabitkan pemilik premis, sebanyak 13 notis kesalahan dikeluarkan kerana gagal mempamerkan tanda larangan, gagal memastikan tiada orang merokok di
premis masing-masing (membenarkan shisha) (6) dan
kesalahan di bawah Peraturan 13(1) iaitu kesalahan merokok oleh orang belum dewasa (OBD) sebanyak 14 notis telah dikeluarkan,” katanya pada sidang media malam tadi.
Dalam perkembangan berkaitan Norhayati berkata sepanjang tahun lalu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan sebanyak 30,648 notis kesalahan merokok di premis makanan dengan nilai kompaun berjumlah RM7.6 juta.
Menurutnya lima negeri merekodkan pengeluaran notis tertinggi iaitu Selangor dengan 6,414 notis diikuti Johor (3,095), Pahang (2,935), Perak (2,808) dan Pulau Pinang (2,725).
“Bagi tempoh empat bulan pertama pada tahun ini, sejumlah 14,872 notis kesalahan merokok di premis makanan dikeluarkan membabitkan nilai kompaun sebanyak RM3.72 juta,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa larangan merokok bukan bertujuan untuk menghukum golongan perokok tetapi ia dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat merokok kepada golongan perokok serta golongan perokok pasif iaitu mereka yang berada di sekeliling.
“Pengguna rokok elektronik atau vape juga boleh membahayakan orang di sekeliling berdasarkan kajian terkini yang dijalankan di peringkat antarabangsa.
“Pendaftaran ke perkhidmatan berhenti merokok l boleh dibuat melalui laman sesawang www.jomquit.com,” ujarnya
#PerakKini #KKM #JabatanKesihatanNegeriPerak #merokok #premisawam #kompaun #RBZ