Peja sedih kehilangan kawan sekampung

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Rakan sekampung Allahyarham Mamat Khalid yang juga Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meluahkan rasa sedih di atas pemergian insan seni negara itu hari ini.

Beliau berasa amat sedih menerima berita itu memandangkan mereka membesar bersama-sama di Kampung Sungai Rokam, di sini.

“Saya ingin menyatakan rasa amat dukacita dan saya berasa amat sedih mendapat berita tentang kematian Allahyarham saudara Mamat Khalid yang telah saya anggap seperti abang kandung.

“Saya membesar di Kampung Sungai Rokam dengan Allahyarham dan amat rapat dengan keluarganya termasuk isterinya.

“Kehilangan ini bukan sahaja kehilangan besar buat negara dan bidang seni, perfileman tetapi kepada saya secara peribadi kehilangan amat besar.

“Marilah sama-sama mendoakan agar Allahyarham diampunkan segala dosa-dosanya serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian selepas ditemui pada program Senamrobik Perdana dan Fun Ride bersempena Peja Trophy 2021 di Padang Lintau, Kampung Tengku Hussein pada Ahad.

Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, 58, menghembuskan nafas terakhir dipercayai akibat serangan jantung dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak, jam 12.30 tengah malam tadi.

Difahamkan, Allahyarham pengsan di restorannya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim, Perak sebelum dikejarkan ke Hospital Slim River dan disahkan meninggal dunia.

Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Sungai Rokam sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kampung Paloh di sini.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan dan lima anak.

Sepanjang pembabitan Allahyarham dalam bidang seni, beliau banyak menghasilkan filem yang popular antaranya
Hantu Kak Limah, Zombie Kampung Pisang, Man Laksa, Rock Oo, Rock Bro, 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa Di Kampung Pisang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *