Pemanggil ancaman bom palsu di Aeon Mall Klebang ditahan

Orang ramai yang berada di luar Aeon Mall Klebang selepas pihak pengurusan pusat membeli belah terbabit menerima panggilan ancaman bom petang semalam. -. Foto BERNAMA

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seorang lelaki warga tempatan ditahan di sebuah rumah di kawasan Tasek di sini, selepas membuat panggilan ancaman bom di pusat membeli belah Aeon Mall Klebang, Chemor, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan kira-kira 9.30 malam tadi kurang lima jam selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, suspek terbabit dipercayai bertanggungjawab terhadap panggilan ancaman bom kepada pihak pengurusan pusat membeli-belah tersebut berdasarkan kepada pengakuan dan keterangan-keterangan yang dikumpulkan, termasuklah peranti komunikasi yang digunakan oleh suspek untuk membuat panggilan palsu tersebut.

Yahaya berkata kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, suspek terbabit akan direman pada 24 Ogos (hari ini) untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Di samping itu, Yahaya berkata pemeriksaan di seluruh bangunan pusat membeli-belah berkenaan mendapati tiada sebarang objek meragukan ditemui dan selepas keadaan disahkan selamat, semua kakitangan dibenarkan masuk semula ke dalam bangunan pada jam 10.30 malam.

“Melalui penahanan suspek kes ini berjaya diselesaikan.

“Pada kesempatan ini, pihak polis ingin memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak membuat panggilan ancaman bom palsu dengan sewenang-wenangnya sehingga mendatangkan ketakutan kepada orang awam dan mengugat ketenteraman awam,” ujarnya.

Terdahulu, beliau berkata pihaknya menerima satu laporan polis pada jam 4.50 petang daripada pekerja sebuah pusat membeli-belah itu bahawa pihak pengurusan menerima satu panggilan telefon daripada seorang individu yang tidak dikenali berhubung ancaman bom di dalam premis tersebut.

Katanya, pihak polis bertindak segera terhadap maklumat tersebut dan menjalankan pemeriksaan menyeluruh di dalam bangunan pusat membeli-belah terbabit dengan bantuan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

#PerakKini #PDRM #ancaman #bom #palsu #Ipoh #Chemor #Klebang #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *