Penduduk gesa pasang papan tanda, bonggol di Jalan Meru Raya – Klebang, elak tragedi

rhdr

Oleh Rosdalilah Zahari

PENDUDUK di Taman Meru Perdana 2 dan Taman Chepor Idaman menggesa pihak berwajib untuk meningkatkan ciri-ciri keselamatan dengan memasang papan tanda dan bonggol di Jalan Meru Raya-Klebang bagi mengelakkan tragedi tidak diingini daripada berlaku.

Tinjauan Perak Kini ke jalan yang menghubungkan Lebuh Chepor Utama 2 dengan Lebuh Klebang Putra itu mendapati kebanyakan pengguna tidak memperlahankan kenderaan mereka apabila tiba di kawasan bulatan.

Perkara itu amat membimbangkan penduduk yang tinggal di kedua-dua taman terbabit serta membahayakan pengguna kenderaan ringan seperti motosikal dan basikal.

Malah, beberapa kejadian kemalangan sehingga menyebabkan kecederaan berlaku sejak jalan itu dibuka kepada pengguna pada 16 Ogos lalu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Meru Perdana 2 Laluan 16 hingga 26, Razkhi Rayman berkata ada beberapa lokasi di sekitar jalan berkenaan yang perlu diambil perhatian.

Menurutnya, antara masalah yang dihadapi adalah kenderaan kereta dari arah Klebang menuju ke Meru tiada papan tanda berhenti untuk keselamatan pengguna kenderaan yang datang dari arah taman perumahan.

Katanya, laluan yang dianggap sebagai ‘jalan pintas utama’ itu menjadi sibuk terutamanya pada waktu puncak.

“Berdasarkan pemerhatian yang dibuat jalan itu tiada unsur yang boleh memperlahankan kenderaan seperti bonggol dan papan tanda.

“Penduduk yang tinggal di Laluan Perdana 2 hingga 16 terpaksa ‘makan jalan’ kerana ruang masuk terlalu sempit,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Meru Perdana 2 Laluan 16 hingga 26, Razkhi Rayman (tengah) bersama Pengerusi Persatuan Penduduk Meru Perdana 2, Mohd Nazri Mohd Ariff (kanan) dan Pengerusi Taman Chepor Idaman, Mohd Syukur Jalinu (kiri) ketika ditemui media berhubung isu Jalan Meru Raya – Klebang baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Meru Perdana 2, Mohd Nazri Mohd Ariff berkata mereka sudah menyuarakan perkara berkenaan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui Ahli Majlis di kawasan berkenaan.

Selain itu, beliau berkata perkara ini juga sudah dimaklumkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri.

“Kami sudah rujuk kepada MBI dan berharap Datuk Bandar Ipoh (Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud) memandang serius mengenai perkara ini kerana ia bukan sahaja membabitkan penduduk setempat malah pengguna kenderaan yang melalui jalan tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Taman Chepor Idaman, Mohd Syukur Jalinu meminta supaya polis meningkatkan kawalan kerana terdapat ‘mat rempit’ yang dipercayai menggunakan jalan tersebut dengan cara yang boleh membahayakan pengguna kenderaan lain.

“Terdapat budak motor yang menunggang motosikal dengan cara agak Berbahaya terutamanya pada waktu malam. Kami berharap pihak berkuasa dapat memantau jalan ini,” jelasnya.

#PerakKini #MBI #JalanMeruRayaKlebang #bahaya #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *