Penduduk Orang Asli kawasan PKPD terima bantuan

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Tong gas, air mineral dan biskut antara bantuan yang disalurkan kepada penduduk di dua perkampungan Orang Asli di Mukim Tanjung Rambutan dalam Daerah Kinta membabitkan 1,160 orang yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bantuan itu disumbangkan oleh Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman kepada penduduk di Kampung Orang Asli Seri Makmur (730 orang) dan Kampung Orang Asli Chadak (430 orang), di sini, pada Jumaat.

Beliau yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Tambun berkata, pihaknya menyumbangkan tong gas memandangkan ia merupakan satu keperluan penting supaya makanan dapat dimasak dan diagihkan kepada penduduk yang terkesan akibat PKPD.

“Hari ini kita beri tong gas, air minuman (mineral) dan biskut kepada penduduk di kampung terbabit.

“Kita juga akan berusaha untuk memberi bantuan makanan kepada penduduk yang dijangkiti Covid-19.

“Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak terutamanya Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superitendan Mohamed Nordin Abdullah dan Ketua Balai Polis Tanjung Rambutan, Sub Inspektor Mohd Asri Sadli yang banyak mengambil berat mengenai hal ehwal serta situasi yang dihadapi masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.

“Justeru, kita berdoa kepada ALLAH semoga mereka yang dijangkiti Covid-19 di kampung ini supaya cepat sembuh,” katanya ketika ditemui Perak Kini, di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Kampung Orang Asli Chadak, hari ini.
Untuk makluman, anggota dan pegawai daripada IPD Ipoh, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) antara yang bertugas sepanjang pelaksanaan PKPD di perkampungan Orang Asli terbabit.

Setiap hari terdapat tiga syif dan seramai 18 orang akan bertugas pada setiap syif tersebut.

Terdahulu, kerajaan memutuskan melaksanakan PKPD selama 14 hari Kampung Orang Asli Seri Makmur bermula 29 September lalu hingga 12 Oktober ini.

Manakala, bagi Kampung Orang Asli Chadak pula, dilaksanakan sekatan mulai 3 Oktober hingga 16 Oktober, membabitkan perkampungan komuniti kaum Orang Darat suku Semai di kawasan seluas 1,000 hektar yang sudah lengkap menerima vaksin.

PKPD dilaksanakan di perkampungan terbabit selepas 39 penduduk dari Kampung Orang Asli Chadak dan 79 penduduk dari Kampung Orang Asli Seri Makmur disahkan positif Covid-19.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *