Penerbangan Ipoh-Langkawi dari LTSAS digantung sementara waktu
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Destinasi penerbangan Ipoh-Langkawi di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini masih belum ditamatkan sebaliknya laluan itu digantung buat sementara waktu.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, buat masa ini pengoperasian semula laluan tersebut masih belum dikenal pasti.
“Laluan penerbangan Ipoh-Langkawi tidak ditamatkan, merujuk kepada syarikat penerbangan AirAsia dan pihak LTSAS sendiri, laluan tersebut hanya digantung buat sementara waktu.
“Namun begitu, pengoperasian semula laluan penerbangan ini masih belum dikenal pasti dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (PH-Tronoh) Tiw Tee Siang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15, di sini pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan Sze Yee berkata ketika ini syarikat penerbangan yang beroperasi di LTSAS adalah AirAsia dan Flyscoot.
Katanya, laluan penerbangan LTSAS ke sebarang destinasi adalah di bawah bidang kuasa syarikat penerbangan yang turut melalui kerjasama serta kelulusan daripada kerajaan Persekutuan.
#PerakKini #LTSAS #LangkawiIpoh #gantung #sementara #RBZ