Pengawal keselamatan jadi dalang kejadian samun kilang elektronik di Ipoh
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Seorang pengawal keselamatan bersama lima lelaki lain ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes samun kilang elektronik di Jalan Lapangan Terbang di sini pada 14 September lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata keenam-enam suspek berusia 27 hingga 47 tahun itu ditahan di beberapa lokasi sekitar Ipoh, Pulau Pinang dan Selangor menerusi Op Kargo Carsem yang dijalankan pada Khamis dan Jumaat.
Menurutnya, dalam kejadian jam 9.15 malam 14 September itu, sekumpulan suspek terbabit bertindak memecah masuk ke dalam kawasan kilang dan mengikat pengawal keselamatan lalu melarikan sejumlah bahan logam mampat bernilai RM180,000 menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Beliau berkata, pengawal keselamatan dipercayai menjadi dalang utama dalam kes samun ini kerana bertindak membuka pintu kilang supaya rakan sepenjenayahnya dapat masuk ke dalam stor.
“Polis berjaya menemui semula kesemua besi mampat yang dilarikan termasuk kenderaan, pakaian dan telefon bimbit suspek semasa tangkapan dibuat di sebuah rumah di Bercham milik salah seorang saudara suspek,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Katanya, semakan rekod mendapati lima suspek memiliki rekod jenayah lampau, manakala salah seorang suspek berumur 47 tahun didapati positif dadah jenis morfin.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (samun berkumpulan dengan bersenjata).
“Kesemua suspek direman selama lima hari untuk membantu siasatan,” katanya.
#PerakKini #PDRM #samun #kilang #Ipoh #RBZ