PENGGUNAAN TEKNOLOGI AI DALAM SEKTOR KOMODITI & PERTANIAN PERLU DILAKSANAKAN
IPOH : Kerajaan Negeri Perak perlu melabur sedikit perbelanjaan negeri bagi mengadaptasi penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan atau ‘Artificial Intelligent’ (AI) dalam sektor komoditi, pertanian dan penternakan negeri ini.
Bagi ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim, pihak kerajaan negeri sepatutnya mengambil kesempatan dari pelopor teknologi AI iaitu ‘ Smart Palm Oil Mill’ yang telah digunakan oleh syarikat Minsawi Industries Sdn Bhd. di Chenderoh.
Menurutnya, teknologi ‘Smart Palm Oil Mill’ yang digunakan oleh syarikat tersebut, dibangunkan oleh AIREI Sdn Bhd bagi proses pengakstrakkan sawit yang dapat membantu memaksimakan hasil disamping mengurangkan kos operasi kilang sawit.
“Saya senada dengan Menteri Peladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani agar kilang-kilang sawit, terutamanya di negeri Perak untuk mengadaptasi teknologi ini (Smart Palm Oil Mill) yang berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan memperkukuh daya saing industri sawit negara” ujar beliau.
Beliau berkata, pihak kerajaan negeri perlu berani mengambil risiko dan melabur dalam teknologi ini bagi kegunaan industri sawit di negeri ini.
Tambahnya lagi, peranan ini mampu dipelopori oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC).