Penjawat awam terima gaji, Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 14 April – PM

Anwar ketika menghadiri Program Sumbangan Rahmah di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Bandar Meru Raya pada Isnin. - Foto Pejabat Menteri Besar Perak
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Penjawat awam akan menerima bayaran gaji April dan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) selewat-lewatnya 14 April ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, kerajaan telah memutuskan bayaran BKKA kepada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, termasuk pegawai atau kakitangan lantikan kontrak, akan dibuat bersama dengan bayaran emolumen bulan April dan diawalkan ke 14 April daripada 17 April termasuk bayaran BKKA untuk pesara turut diawalkan pada tarikh yang sama.
“Maka, mengambil pendekatan yang sama bagi membantu rakyat membuat persiapan menyambut Aidilfitri, kerajaan memutuskan agar BKKA juga diawalkan pada minggu ini, iaitu selewat-lewatnya 14 April (Jumaat).
“Ini akan manfaat hampir sejuta penerima dalam kalangan pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan beruniform (Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Sukarelawan Bomba dan Sukarelawan Polis),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Sumbangan Rahmah di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Bandar Meru Raya pada Isnin.
