PESARA TENTERA HASILKAN 100 LITER SUSU SEGAR SEHARI
Oleh SARIMAH DIN
BATU KURAU– Seorang pesara tentera, Sarjan (B) Sidek Othman, 50, kini giat menghasilkan susu segar dari lembu peliharaannya di Reme Cattle Farm, dekat sini.
Bermula dengan 5 ekor lembu import dari New Zealand, Sidek kini mempunyai 25 ekor lembu tenusu yang menghasilkan susu segar setiap hari untuk dijual kepada penggemar susu segar.
Ladang lembu Reme Cattle Farm milik Sidek itu terletak di Batu 16 (belakang FAMA Batu Kurau) dan dapat menghasilkan lebih 100 liter susu setiap hari.
” Saya bermula menjalankan bisnes ini bersama dengan abang angkat saya sekitar 3 tahun lalu, namun amat menyedihkan apabila bisnes mula berkembang, abang angkat saya meninggal dunia dan tinggalkan saya seorang diri menguruskan bisnes ini,”
” Saya bertekad, walau apa pun terjadi, saya akan teruskan impian abang angkat saya ini hingga berjaya dan alhamdulillah, ianya nampak makin berkembang,” ujar Sidek ketika ditemui wartawan Perak Kini di ladang Reme Cattle Farm.
Sebagai harapan untuk melangkah lebih jauh lagi dalam bisnes susu segar ini, Sidek telah mengeluarkan produk susu segarnya dengan pelbagai rasa seperti jagung, vanilla, stroberri dan lain-lain serta di botolkan.
Produk tersebut mendapat sambutan luar jangkaan dan peminat susu segar keluaran Reme Cattle Farm itu telah masuk ke pasaran Taiping, Kamunting dan Ipoh.
Kepada yang berminat untuk mendapatkan susu segar dari Reme Cattle Farm, boleh terus hubungi 0105218482.