PKP: 60 KERETA TERSADAI, MEKANIK TARIK NAFAS LEGA

Oleh Intan Efazila Md Yusop

BEHRANG: Seorang mekanik berasa lega dan bersyukur kerana dapat mengharungi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha membantu kerajaan memerangi dan memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Mohd Iswan Ishak, 41, berkata ketika PKP dikuatkuasakan 18 Mac lalu, beliau terpaksa menutup bengkelnya berikutan kedai alat ganti kenderaan tidak dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Katanya, apabila masuk fasa PKPB pula , kedai alat ganti kenderaan hanya dibuka pada hari tertentu sahaja dan secara tidak langsung telah menjejaskan pendapatan hariannya.

” Waktu PKP , saya bersyukur kerana masih dapat bertahan mengharungi kehidupan dengan sedikit wang simpanan dan Bantuan Perihatin Nasional (BPN) yang diberikan oleh pihak kerajaan dengan berbelanja secara berkhemah.

” Ketika PKPB pula, saya membuka kembali bengkel yang diusahakan bersama rakan kongsi, Mohd Azim Hidayat Ishak untuk menjana kembali pendapatan harian yang terjejas sebelum ini,” katanya ketika ditemui dekat Bengkel Cindai Motor, dekat sini.

Beliau sebenarnya menerima latihan dalam bidang kimpalan di Institut Kemahiran Mara (IKM), Jasin, Melaka, namun terpaksa menukar ke bidang mekanik demi kelangsungan hidup.

Pengalaman selama 20 tahun dalam membaik pulih kenderaan menjadikan bapa kepada seorang anak ini kekal bersemangat dalam mengharungi tempoh PKP dan PKPB itu.

Mohd Iswan Ishak (kanan) dan rakan kongsinya, Mohd Azim Hidayat Ishak (kiri) bersyukur dapat membuka kembali bengkel membaiki kenderaan bagi menjana pendapatan harian di Bengkel Cindai Motor, dekat Behrang.

Mohd Iswan berkata pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam, yang memaklumkan negara kita kini bakal memasuki fasa PKPP membuatkan beliau dan rakannya menarik nafas lega dalam memastikan perolehan pendapatan harian tidak terus terjejas.

” Sebagai mekanik bukan mudah untuk mengharungi tempoh PKP dan PKPB ,selain berdepan dengan pelanggan yang tidak mampu membaiki kenderaan menyebabkan banyak kenderaan tersadai di bengkel.

” Setakat ini, kira-kira 60 buah kereta yang tersadai di bengkel disebabkan pemiliknya tidak mampu membaiki kenderaan terbabit disebabkan kos baik pulih tinggi lalu ada yang membuatkan sahaja di bengkel ini,” katanya.

Mohd Iswan berkata, untuk mengatasi masalah ini, biasanya beliau akan menghubungi pemilik kenderaan terbabit ,sama ada mengambil kembali kenderaan itu atau dijual sahaja kepada kedai besi buruk.

Katanya, tempoh PKP dan PKPB adalah dugaan yang paling besar terpaksa beliau hadapi sepanjang menjadi seorang mekanik dan berharap rakyat negara ini bijak menyesuaikan diri dalam kehidupan normal baharu ini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *