Polis siasat kes pecah cermin pejabat dipercayai angkara khianat

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Polis menjalankan siasatan berhubung kejadian pecah cermin sebuah pejabat dipercayai angkara khianat di Jalan Sultan Iskandar, di sini malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki berusia 59 tahun kira-kira jam 10.26 pagi Rabu.

Menurutnya, laporan itu menyatakan bahawa berlaku satu kes khianat pecah cermin pejabat pada jam lebih kurang 8.17 malam semalam di pejabat berkenaan.

“Siasatan pihak polis mendapati kejadian disedari pekerja syarikat itu pada hari ini kira-kira jam 7.30 pagi.

“Semasa tiba di pejabat tersebut, pekerja itu mendapati terdapat sebuah lubang bulat berdiameter lebih kurang 8 milimiter dan retakan di atas cermin sebelah pintu pejabat berkenaan.

“Pemeriksaan pasukan siasatan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di tempat kejadian tidak menjumpai sebarang objek yang menyebabkan lubang dan retakan pada cermin tersebut.

“Pihak polis mengesyaki kerosakan tersebut adalah kesan daripada terkena bebola keluli (ball bearing),” katanya dalam satu kenyataan pada petang Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini dan syarikat tersebut mengalami kerugian lebih kurang RM2,000 untuk membaiki kerosakan pintu cermin yang retak.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat).

“Kini, pihak polis sedang menyiasat kes ini dari pelbagai sudut dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini diminta tampil membantu siasatan.

“Pada masa yang sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes ini sehingga menjejaskan siasatan pihak polis,” ujarnya

#PerakKini #PDRM #pecahpejabat #Ipoh #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *