Polis tahan 4 lelaki, rampas ganja, pil wy, methamphetamine di Tanjung Piandang
Oleh Rosdalilah Zahari
KERIAN – Empat lelaki ditahan bersama lebih lima kilogram (kg) ketulan ganja mampat yang disembunyikan di dalam sebuah kereta di Jalan Ban, Tanjung Piandang dekat sini pada Khamis.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian pada jam 10 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan yang djalankan di dalam kenderaan itu, menemukan dadah dipercayai jenis ganja seberat 5,461.75 gram (gm) yang bernilai RM17,050.
“Ketika serbuan dijalankan keempat-empat suspek yang berusia antara 19 hingga 41 tahun berada di dalam kenderaan tersebut
“Susulan penahanan itu, kira-kira jam 3.30 petang polis membuat lagi satu serbuan di kawasan sama dan menemui satu beg galas berzip berisi pil wy seberat 6,416.06 gm serta dadah jenis methamphetamine dengan berat 2,084.75 gm bernilai RM423,500.
“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM440,500,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kesemua suspek positif dadah jenis THC (ganja) dan methamphetamine.
“Hasil semakan juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan dadah.
“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, mereka dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak bulan Jun lalu sehingga kini.
“Dadah yang dirampas, disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di negeri ini serta boleh digunakan 47,000 orang penagih dadah,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Kesemua suspek direman selama tujuh hari mulai 1 sehingga 7 September ini bagi membantu siasatan,” jelasnya.
#PerakKini #PDRM #dadah #tahan #Kerian #RBZ