PUNCA BANJIR KILAT DI MANONG

Oleh: Norsharuddin Sapian

KUALA KANGSAR: Kerja-kerja menaiktaraf jalan raya di berhampiran Kampung Tersusun Jerlun Tambahan, Manong dekat sini, dipercayai menjadi punca kejadian banjir kilat di situ, kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Mohamad Zuraimi Razali berkata, dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, dua rumah termasuk sebuah kebun durian milik penduduk telah ditenggelami air.

“Kejadian berlaku ketika hujan lebat dan dipercayai kesan daripada kerja-kerja menaik taraf jalan raya Manong-Kuala Kangsar berhampiran kampung berkenaan.

“Sistem perparitan yang sempit dan tidak mampu menampung kapasiti air hujan berlebihan menyebabkan berlakunya banjir kilat di situ,” katanya kepada portal Perak Kini, di sini.

Menurutnya, sebaik sahaja kejadian itu dilaporkan, beliau dan pegawainya telah bergegas ke lokasi kejadian untuk meninjau keadaan dan menghulurkan bantuan yang sewajarnya.

Mohamad Zuraimi berkata, pihaknya berterima kasih kepada anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Kangsar yang telah berkejar ke lokasi kejadian serta bertindak memastikan keselamatan 10 penduduk yang menghuni dua rumah di situ.

“Hari ini (Jumaat), Pejabat ADUN Manong dan penduduk turut mengadakan kerja gotong-royong membersih dan membaiki kerosakan di rumah mangsa terlibat.

“Kita prihatin dengan masalah yang dihadapi itu dan tindakan segera akan diambil bagi memastikan kejadian berkenaan tidak lagi berlaku di masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang mangsa yang terlibat, Maznan Mat Isa yang mengusahakan perkhidmatan sewa khemah berkata, hanya beberapa peralatan niaga seperti kain dan khemahnya sahaja dibasahi air.

Menurutnya, beliau bersyukur kejadian itu, tidak menyebabkan kerugian besar atau menjejaskan rumah tempat keluarganya berlindung itu.

“Bagaimanapun, saya bagi pihak penduduk berterima kasih kepada Tok Mie (ADUN Manong) serta Jabatan kerajaan yang mengambil berat dengan kejadian itu.

“Hari ini, mereka (ADUN Manong dan Jabatan kerajaan) datang sekali lagi ke sini meninjau tempat kejadian dan sedang menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *