RIBUT KENCANG TERBANGKAN BUMBUNG RUMAH DI SIMPANG – 44 KELUARGA TERIMA BANTUAN
TAIPING – Kira-kira 44 keluarga di Taman Damai, Simpang dekat sini mengalami detik mencemaskan apabila ribut kencang melanda kawasan tersebut baru-baru ini, menyebabkan beberapa bumbung rumah diterbangkan angin kuat dan menjejaskan kehidupan penduduk setempat.
Kejadian yang berlaku secara tiba-tiba itu bukan sahaja mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk, malah turut menyebabkan kerosakan harta benda yang ketara.
Prihatin dengan nasib penduduk terjejas, Kerajaan Negeri Perak menerusi inisiatif Kerajaan Madani telah menghulurkan bantuan segera kepada mangsa bencana berkenaan. EXCO Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Teh Kok Lim bersama ADUN Pokok Assam, Ong Seng Guan tampil menyampaikan sumbangan kewangan sebanyak RM500 kepada setiap keluarga yang terlibat.
Majlis penyerahan bantuan itu turut dihadiri pegawai-pegawai dari Pejabat Ahli Parlimen dan DUN Taiping, termasuk Ahli Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Hadi Sharudin, Lau Chang Ee, Lim Cheng Aik, Cheng Boon Hien, Chuah Chong Hove, Setiausaha Politik Teh Kok Lim iaitu Seline Teh serta Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Taiping, Ong Hui Xue dan Goh See Teow.
Menurut Teh Kok Lim, kejadian ribut tersebut menunjukkan betapa pentingnya kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi bencana alam.
“Ribut kali ini datang dengan begitu ganas dan tidak dijangka. Ia menyerlahkan betapa rapuhnya komuniti apabila diuji dengan musibah sebegini. Justeru, pihak kami bertindak segera menghulurkan bantuan dan sokongan kepada mangsa terlibat,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan di lokasi kejadian.
Beliau menambah, selain bantuan tunai awal, pihaknya akan terus membantu keluarga yang terjejas untuk membuat permohonan Dana Bantuan Bencana Negara bagi mendapatkan bantuan pembaikan dan pemulihan yang lebih menyeluruh.
Penduduk yang menerima bantuan melahirkan rasa terharu dan berterima kasih atas keprihatinan ditunjukkan para wakil rakyat serta pegawai-pegawai yang hadir.
Mereka turut menyuarakan harapan agar proses kelulusan bantuan bencana dapat dipercepatkan demi mempercepatkan kerja-kerja pemulihan.
Dengan kerjasama erat antara pejabat wakil rakyat dan komuniti setempat, usaha pemulihan kini sedang dijalankan secara berperingkat bagi memastikan mangsa kembali menjalani kehidupan seperti sediakala.