SPRM KONGSI MESEJ ANTIRASUAH BERSAMA 598 ORANG PELAJAR MRSM LENGGONG PROGRAM WIRA ANTI RASUAH (WAR).

LENGGONG, 23 JULAI 2024 – Seramai 598 orang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Lenggong menjayakan Program Wira Anti Rasuah (WAR), anjuran bersama Unit Intergriti Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersama Cawangan Pendidikan, Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Isnin.

 

Program yang berlangsung sehari ini merupakan suatu inisiatif penting MARA dan SPRM mendekati generasi muda dalam usaha membanteras rasuah sedari bangku persekolahan.

 

Program WAR, yang merupakan brainchild Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula sejak tahun 2014, bertujuan mendidik pelajar mengenai bahaya rasuah serta memupuk nilai integriti dalam kehidupan seharian mereka. Sehingga kini, program ini telah dijalankan di 174 sekolah dan melibatkan hampir 32,000 murid serta lebih 4,000 guru di seluruh negara.

 

TPj Nazli Rasyid bin Haji Sulong dalam ucapannya menekankan bahawa pendidikan adalah alat yang paling berkuasa untuk memerangi rasuah. Beliau turut menyeru para pelajar untuk mendalami pengetahuan tentang bahaya rasuah dan menjadi wira yang berani menegakkan kebenaran dan keadilan.

 

“Rasuah adalah satu ancaman yang merosakkan integriti, membantutkan pembangunan, dan mencemarkan nama baik negara. Usaha memerangi rasuah haruslah dimulakan dari peringkat akar umbi, iaitu di kalangan generasi muda kita,” ujarnya.

 

Beliau turut menegaskan bahawa program WAR yang dijalankan ini adalah selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang diluncurkan oleh YB Perdana Menteri pada 7 Mei 2024; dimana sektor pendidikan diberi penekanan sebagai salah satu strategi utama dalam membanteras rasuah di Malaysia.

 

TPj Nazli Rasyid juga merakamkan penghargaan kepada para guru dan pihak pengurusan MRSM Lenggong serta Unit Integriti MARA atas usaha gigih mereka menjayakan program ini. Beliau optimis program ini akan membawa perubahan positif kepada para pelajar dan masyarakat sekitar.

 

Slot Latihan Dalam Kumpulan (LDK) Program WAR MRSM Lenggong menyeru pelajar-pelajar untuk menjadi ejen perubahan dengan memastikan diri sendiri dan orang sekeliling tidak terlibat dalam rasuah. Pelajar-pelajar diingatkan untuk meneruskan perjuangan menentang rasuah dan menjadi Wira Anti Rasuah yang sebenarnya demi mencipta masa depan yang bebas rasuah.

 

MRSM Lenggong, Perak merupakan MRSM ke-28 dalam siri Jelajah WAR SPRM, dan diharapkan kesemua 57 MRSM akan terlibat dalam program ini tidak lama lagi.

 

Majlis Perasmian WAR MRSM Lenggong disempurnakan oleh Timbalan Pesuruhjaya (TPj), Nazli Rasyid bin Haji Sulong, Pengarah, Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

 

Turut hadir Encik Ahmad Sofi bin Abdullah dari Unit Integriti MARA dan Puan Zurina binti Sukadis, Timbalan Pengetua Kecemerlangan Akademik, MRSM Lenggong, Perak.

 

Kredit Media Perak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *