TAHNIAH WAKIL RAKYAT MENAMPILKAN PAKAIAN KEBUDAYAAN MELAYU DI PARLIMEN THAILAND
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyatakan tahniah kepada tujuh wakil rakyat Thailand yang menampilkan busana baju Melayu di Parlimen Thailand.
Ia adalah suatu pembaharuan imej kepada rakyat Thailand bahawa kebudayaan Melayu adalah sebahagian yang integral dalam masyarakat Thailand yang perlu dihormati.
Menurut Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden MAPIM, mereka berpendapat adalah wajar kebudayaan Melayu ditonjolkan kerana stigma terhadap masyarakat Melayu di Thailand masih dianggap sebagai kebudayaan asing dan pernyataan pemberontakan terhadap kebudayaan nasional Thailand yang dominan beragama Buddha.
“Amat penting masyarakat Melayu mengekalkan kebudayaan etnik sendiri sebagai hak budaya yang perlu dihormati dalam sebuah negara yang demokratik. ”
“Saling menghormati dan memahami antara budaya bagi mewujudkan keharmonian dalam sebuah negara pelbagai etnik adalah penting. tambah beliau.
Mengiktiraf keragaman budaya dan tidak bersangka negatif terhadap budaya pribumi sesebuah etnik harus diterima baik oleh pemerintah Thailand.
Penghakisan budaya dan penjajahan budaya adalah antara isu penting yang perlu dibahaskan dalam proses damai antara komuniti di Thailand.
MAPIM menganjurkan agar dialog kebudayaan diadakan di Thailand dalam rangka membangunkan peradaban Melayu yang kaya dengan nilai dan watak murni di Thailand.
Konsep saling menghornati dan saling percaya inilah yang sedang diusahakan dalam agenda Malaysia Madani.
Perkongsian program Madani yang dirangka di Malaysia boleh dikongsikan dengan pihak Thailand dalam rangka membangun rantau yang aman, stabil , makmur dan maju.
Sudah sampai masanya hidup damai dalam kepelbagaian budaya diiktiraf di Thailand dijadikan dasar dalam pembangunan negara.
Berprasangka negatif dan mencurigai kebudayaan Melayu di Thailand harus di atasi dengan dialog dan memberi ruang yang sihat kepada masyarakat Melayu mengamalkan budaya mereka secara aman dan selesa.
MAPIM percaya rantau ini boleh menjadi contoh kepada kehidupan beragam budaya yang unik dan hormani demi membangun komuniti Asean yang makmur.
Gambar disediakan oleh MAPIM