Tempoh sah laku sijil kursus pra perkahwinan Islam tidak lebih 10 tahun masih di peringkat cadangan

Oleh Rosdalilah Zahari

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih mempertimbangkan cadangan berhubung tempoh sah laku sijil Kursus Pra Perkahwinan Islam selama 10 tahun yang dilaporkan bermula 1 Oktober tahun ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jakim pada Jumaat, pihaknya sudah membincangkan perkara tersebut bersama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan ia masih dalam peringkat cadangan dan pertimbangan untuk dilaksanakan.

“Cadangan tersebut dibangkitkan bagi memastikan pelaksanaan kandungan Modul Kursus Pra Perkahwinan Islam yang lebih relevan dan berkesan kepada bakal pengantin.

“Jakim akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini apabila ia dimuktamadkan bersama pihak berkuasa agama negeri,” ujar kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat Jakim itu.

Rabu lalu media melaporkan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata tempoh sah laku sijil kursus yang berasaskan Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam bagi tujuan permohonan Kebenaran Berkahwin JAWI adalah tidak melebihi 10 tahun.

Pada masa ini, sijil tersebut tidak mempunyai tempoh sah laku dan boleh digunakan seumur hidup.

#PerakKini #Jakim #sijilkursuspraperkahwinan #10tahun #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *