Tuaian pertama nanas MD2 di Ladang Gugusan Lambor

Oleh Rosdalilah Zahari

PARIT – Projek tanaman nanas MD2 yang diusahakan Aexis Agriventure Sdn Bhd (Aexis) dengan kerjasama  Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri
Perak (PPPNP) berjaya membuahkan hasil dengan tuaian pertama pada bulan ini.

Ketua Pegawai Operasi PPPNP, Mohd Kahar Mukktarudin berkata, setakat ini sebanyak RM1 juta dibelanjakan membabitkan 15 peratus daripada hasil ladang nanas berkenaan.

Menurutnya, PPPNP telah memberikan peluang pajakan membabitkan ladang seluas 40 hektar kepada Aexis dan diharap mereka dapat memaksimumkan penggunaannya dengan tanaman kontan yang bersesuaian sementara menunggu pusingan tanaman nanas MD2 mengeluarkan hasil.

“Kaedah ini juga secara tidak langsung mampu menjana pendapatan tambahan kepada Aexis selain daripada penumpuan yang diberikan terhadap penanaman nanas MD2,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan mewakili Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya pada Majlis Penuaian Pertama Nanas MD2 Aexis Agriventure Sdn Bhd di Ladang Gugusan Lambor, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Aexis Group of Companies, Mohd Hashrizal Zainol Haris; Pengarah Pertanian Negeri Perak, Norsiyenti Othman; Yang Dipertua Majlis Daerah Perak Tengah, Mohd Syukri Azaari;

Pegawai Hal Ehwal Ekonomi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Negeri Perak, Mohd Faizal Mohd Daud; Ketua Pegawai Kewangan PPPNP, Asrol Azam Mohd Yusof dan Penghulu Mukim Lambor, Mohd Norhakhiruddin Ismail.

Beliau berkata, melalui projek itu juga pihak Aexis boleh melakar satu pelan pembangunan kerjasama dengan LPNM Negeri Perak serta Jabatan Pertanian Negeri Perak bagi membangunkan industri hiliran berasaskan tanaman tersebut.

“Ini kerana, industri hiliran dilihat menjadi antara salah satu bidang yang mempunyai potensi besar dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

“Produk seperti pembuatan jus nanas MD2, penjualan buah potong, ekstrak bromelain bagi tujuan farmasutikal dan lain-lain lagi adalah antara contoh yang boleh kita ambil sebagai panduan dalam membangunkan industri hiliran ini.

“Justeru, ini memberi lebih banyak peluang pelaburan dan pekerjaan yang akan dapat diwujudkan bagi memberi impak positif kepada penduduk setempat terutamanya kepada golongan belia,” jelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Aexis Group of Companies, Mohd Hashrizal Zainol Haris (dua kiri) melihat hasil tuaian nanas MD2 oleh Ketua Pegawai Operasi PPPNP, Mohd Kahar Mukktarudin (dua kanan) dan Pengarah Pertanian Negeri Perak, Norsiyenti Othman (tengah) pada Majlis Penuaian Pertama Nanas MD2 Aexis Agriventure Sdn Bhd di Ladang Gugusan Lambor, di sini.
Ladang nanas MD2 di Gugusan Ladang Lambor, Parit di sini.
Ketua Pegawai Operasi PPPNP, Mohd Kahar Mukktarudin (kanan) dan Pengarah Pertanian Negeri Perak, Norsiyenti Othman (kiri) bersama hasil tuaian nanas MD2 pada Majlis Penuaian Pertama Nanas MD2 Aexis Agriventure Sdn Bhd di Ladang Gugusan Lambor, di sini.

Sementara itu, Mohd Hashrizal dalam ucapannya memaklumkan setakat ini sebanyak 300,000 pokok nanas MD2 berjaya ditanam di atas tanah seluas enam hektar sejak ia mula diusahakan pada November tahun lalu.

“Kita mensasarkan ladang ini akan dipenuhi tanaman nanas MD2 antara akhir tahun 2022 atau suku pertama 2023,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *